Saturday, January 30, 2010

Cinta Terhenti - Bab 16

Aku menumpukan perhatian terhadap muka bosan permata hatiku. Dia mempamerkan wajah kurang senangnya. Entah apalah yang membuatkan hatinya menjadi walang. Kerenahnya semakin menjadi-jadi selagi kehendaknya tidak dipenuhi. Aku pasti kemuramannya berkait rapat dengan permintaannya yang belum tertunai sejak pagi tadi. Tentu dia merasakan ketidaksungguhanku untuk menghubungi ayahnya.

“Sayang mummy ni kenapa muka masam mencuka ni? Baru bangun tidur ya? Aku cuba memujuknya.

Mummy bercakap dengan siapa tadi? Daddy telepon? Kenapa tak bagi Danish cakap?” Marahnya padaku. Rupanya dia menyangkakan aku berbual dengan ayahnya. Patutlah mukanya cemberut semacam…

Sorry sayang, tadi bukan daddy yang telepon tapi kawan mummy. Mummy dah cuba telepon daddy tapi masih belum dapat bercakap dengan dia. Mungkin daddy masih sibuk lagi. Malam nanti kita cuba lagi yer. Danish tadi main PS2 dengan Kak Aida dan Kak Alya kan, dah habis main ker?”

Aku memujuknya sambil cuba melarikan fokusnya terhadap perkara pokok. Dan tanpa ragu-ragunya aku sekali lagi telah mencipta alasan yang entah keberapa untuk anakku. Ya ALLAH… hambaMu ini terlalu banyak berdusta. Sampai bilakah perkara ini akan berakhir. Hatiku semakin rusuh dan resah sejak menjejakkan kaki ke bumi Malaysia. Serba tak tenteram jadinya. Perasaanku kacau bilau, apatah lagi setelah pertembunganku dengan Danial Haqim dan ditambah pula dengan masalah Rayyan Zakwan yang jatuh cinta pandang pertama terhadapku. Jiwaku resah… runsing…keliru… serabut.

Mummy…, mummy fikir apa? Kenapa mummy tak jawab apa yang Danish tanya tadi? Sapaan anakku membuatkan aku tersedar dari khayalan.

Sorry sayang, sayang tanya apa? Bukan ke mummy dah jawab tadi? Kan mummy kata daddy sibuk, kita cuba malam ni pulak”. Termangu-mangu aku menjawab persoalannya.

Mummy… Danish cakap, Kak Aida ajak mummy sarapan petang, mummy cakap benda lain pulak! Dia mengerlingkan matanya menunjukkan rasa marahnya di atas kealpaanku yang tidak memberi perhatian terhadap percakapannya.

Sorry sayang… mummy tak dengar, mummy sedang fikirkan perkara lain. Kak Aida ajak mummy sarapan petang? Siapa yang cakap ‘sarapan petang’? Kak Aida atau Danish yang reka sendiri? Kita tak sebut ‘sarapan petang’ sayang…, tapi kita panggil ‘minum petang’, or tea break.” Aku menerangkan perkataan yang sebetulnya agar dia dapat membiasakan diri dengan suasana dan perkataan yang baru bagi dirinya. Walaupun tinggal di luar negara, tetapi kami kerap menggunakan bahasa ibunda setiap kali berbual. Aku takut anakku akan terus melupakan Bahasa Malaysia dan adab resam budaya keturunannya.

“Okay sayang, mummy nak solat asar dulu, nanti mummy keluar, sayang tolong bagitau Kak Aida ya…” Kataku lantas menarik tuala di tempat penyangkut tuala bersebelahan pintu bilik air. Danish kulihat sedang melangkah ke pintu bilik.

Sebaik usai solat, aku melipat marhana dan mengantungkannya di penyidai. Fikiranku masih sesak memikirkan kata-kata Rayyan Zakwan sebentar tadi. Jika difikir-fikirkan memang gila. ‘Pelik bin ajaib’, masakan tidak, hanya pertemuan yang sekali dan sebentar sahaja, dapat mencetuskan perasaan cinta di hatinya. Dalam tempoh tidak sampai beberapa jam, dia boleh jatuh cinta terhadapku. Pelik! Pelik! Memang pelik!

Adakah benar kata-kata pujangga bahawa cinta yang lahir dari pandangan pertama adalah cinta yang suci murni, cinta sejati yang tercetus dari perasaan jiwa yang bergelora? Apakah cinta seumpama itu boleh dipercayai? Bolehkah disandar harapan akan kebenarannya? Tetapi… bukankah aku telah mengalaminya dahulu? Cinta Danial Haqim terhadapku dan cintaku terhadapnya adalah cinta pandang pertama. Kami saling jatuh cinta pada pertemuan yang mencetuskan perbalahan antara kami namun akhirnya menumbuhkan bibit-bibit cinta. Dalam tempoh tiga bulan sahaja, kami telah memutuskan untuk berkahwin. Keputusan bodoh yang telah menjerat diriku dalam kancah kesengsaraan yang tak berkesudahan. Argh!… segala-galanya masih segar dalam ingatan.

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. hohohoho....
    ssh nak bt pilihan smaada daniel or rayyan...
    tp slh daniel krn meningalkan lea n danish...
    best2x...
    smbung2x...

    ReplyDelete

 
Dear Diary Blogger Template