Monday, January 25, 2010

Cinta Terhenti - Bab 3

Sudah hampir enam bulan aku menjalani kehidupan sebagai pelajar di bumi Melbourne. Aku bernasib baik kerana ditawarkan di universiti yang sama dengan kedua sahabat baikku, walaupun kami di jurusan yang berbeza. Aku mengambil jurusan kejuruteraan sivil manakala Fateha dan Aina mengambil jurusan kedoktoran. Sejak dari kecil lagi aku bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera wanita yang berjaya. Aku berusaha gigih bagi mencapai cita-citaku. Syukur Alhamdulillah, akhirnya aku berjaya mendapat tempat di universiti ini. Sesungguhnya berbaloi setiap usaha gigihku selama ini.

Kami di tempatkan di kampus Clayton, iaitu kampus asal, dan terbesar di antara kampus-kampus lain di Monash University. Kampus Clayton didirikan di kawasan seluas 100 hektar dengan lanskap yang menarik dan pelbagai kemudahan untuk kegunaan kami seperti kedai, medan selera, bank dan tempat rekreasi dan riadah.

Kampus Clayton juga menyediakan lima Halls of residence untuk penginapan pelajar-pelajarnya iaitu, Deakin Hall, Howitt Hall, Farrer Hall, Roberts Hall dan Richardson Hall. Kesemua Halls dapat menempatkan lebih dari 1000 pelajar. Setiap bilik disediakan lengkap dengan perabot, alat pemanas dan kemudahan-kemudahan lain yang boleh dikongsi bersama seperti laundry room dan common room.

Self-catering kitchen juga disediakan. Kebanyakan pelajar beragama islam seperti kami lebih selesa memasak sendiri daripada membeli makanan yang dijual di Dining Hall. Walaupun terdapat McDonalds dan Pizza Hut, tetapi status halal dan haram makanan tersebut diragui. Kebiasaanya kami akan membeli barang-barang mentah untuk kegunaan seminggu pada setiap hari sabtu di Brandon Park iaitu sekitar lebih kurang 2 Km daripada kampus. Di situ terdapat kedai-kedai yang menjual sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan runcit.

Kami bertiga merupakan sahabat karib semenjak dari sekolah menengah lagi. Kami bersekolah di Methodist Girls School, Kuala Lumpur. Aina dan Fateha tinggal di asrama FELDA, iaitu sebuah asrama yang menempatkan pelajar-pelajar dari kalangan anak-anak peneroka dan kakitangan FELDA seluruh Malaysia. Manakala aku pula, tentulah tinggal bersama emak dan abah di Bangsar. Sewaktu hendak memasuki sekolah menengah, abah beria-ia meminta aku tinggal bersama mereka di Kuala Lumpur.

Walaupun ketika itu Opah tak benarkan, tetapi abah tetap berkeras. Aku diambil dari jagaan Opah yang telah menjagaku sejak kecil. Sedih hatiku meninggalkan Opah di kampong, tapi apakan daya, abah bekeras ingin membawaku ke bandar, sehinggakan berlaku pertengkaran kecil antara abah dan opah. Tapi, mujurlah akhirnya Opah faham dan meredhakan pemergianku, tapi dengan syarat setiap kali cuti sekolah aku harus balik menemani Opah di kampong.Manakala kakak kembarku pula mendapat tawaran ke Sekolah Menengah Sains Taiping, sebuah sekolah berasrama penuh.

Entahlah! Ketika itu, aku rasakan sukarnya untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baru. Aku telah terbiasa tinggal di kampong dengan opah, tetapi kini harus tinggal dengan abah dan emak. Walaupun mereka adalah kedua ibu bapa kandungku, tetapi… dapat kurasakan kedinginan dalam hubungan kami. Sebenarnya perasaan itu telah lama kurasai. Aku sering rasa terpinggir dalam keluarga sendiri. Aku sering terasa abah dan emak lebih sayang dan mengutamakan kakak kembarku dalam segala hal.

Sedari kecil aku sering tertanya-tanya mengapa aku ditinggalkan dikampong, sedangkan kakak kembarku Kakyong Eliza Suhaila tinggal bersama emak dan abah di K.Lumpur. Hanya sesekali abah akan memgambilku untuk tinggal bersama mereka, itupun… ketika cuti sekolah. Apabila musim sekolah bermula, aku akan dihantar semula ke kampong. Sedangkan kakakku dapat bersekolah di sekolah terbaik di bandar. Walaupun segala keperluanku disediakan oleh abah dan emak, tetapi aku dapat rasakan kasih sayang mereka terhadapku tidak setanding dengan kasih mereka terhadap kakyong.

Kadang kala aku sering terasa hati apabila terdengar emak bersungut tentang diriku. Kata emak aku tak seperti kakyong. Aku kasar, perangaiku macam lelaki…suka main permainan lelaki, suka panjat pokok macam budak lelaki. Tidak seperti kakyong yang sentiasa lembut, baik, selalu mengalah, pandai, cantik. Segala-gala sifat baik, pastinya datang dari kakyong, sedangkan aku, sentiasa sering tak kena pada matanya. Aku suka berangan-angan kata emak. Aku tak bercita-cita tinggi. Aku anak kampong. Aku tak stylis, tak macam kakyong yang sentiasa berpakaian kemas dan mengayakan fesyen kanak-kanak terkini, sedangkan aku comot dan sering memakai seluar trek dan t-shirt sahaja.

Malah, perpindahanku ke sekolah di K.Lumpur juga, kurasakan hanya untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh kakyong. Tentulah abah dan emak sunyi apabila kakyong ke sekolah berasrama penuh, maka akulah menjadi pengganti untuk menemankan mereka. Argh… entahlah, mungkin itu hanyalah perasaan dan andaian ku semata-mata. Mungkin abah dan emak benar-benar ikhlas dan sayangkan aku. Takkanlah mereka tak sayang, sedangkan aku adalah darah daging mereka sendiri. Dan aku adalah anak bongsu, seharusnya aku yang mendapat lebih dari kakyongku. Tetapi… entahlah, sehingga kini aku tidak mengerti kenapa aku ditinggalkan di kampong, sedangkan kakyong tinggal bersama keluargaku di Kuala Lumpur.

*****

Ya ALLAH, entah kemanalah fikiranku merayau, kenapalah aku asyik teringat perkara lepas. Perkara yang telah jadi sejarah. Tak baik aku mengingatkan perkara buruk tentang mereka yang telah pergi. Apa-apa pun, samada baik atau buruk, kenyataannya mereka adalah orang tuaku, mereka adalah emak dan abahku, dan mereka telah pergi untuk selamanya. Mungkin kerana kesunyian seorang diri di bilik pada hari sabtu ini, tanpa ku sedari,aku telah melayan fikiran ke zaman kanak-kanakku.

Tiba-tiba, terdengar suara memanggilku bersama ketukan di pintu. Segera aku bangun untuk membuka pintu. Siapa lagilah yang nak menganggu waktu rehatku.

“Lea, kau buat apa tadi, lama betul aku ketuk pintu, kenapa tak jawab.” Sungut Aina sebaik pintu terkuak.

“Tadi kata nak solat, pastu nak tengok Aten, lama kitaorang tunggu, kau tak muncul-muncul , kau tidur ke?”

“Ala, sorrylah, aku berangan tadi… teringat kisah kita kat MGS dulu pastu terkenang kat arwah keluarga aku.”

“Ada-ada je kau ni…”

“Eh… camner keadaan Aten, dah sihat ker” Aku teringatkan Fateha yang sedang demam selsema.

“Hem… dah okey sikit, aku nak balik bilik jap, kau pergi temankan Aten ek”.

“Okay, geng… jap aku ambik tudung.”

“Eh!eh! er…Lea, lupalak aku nak bagitau, malam ni Bad ajak celebrate birthday party dia, kita pergi yer…” ajak Aina yang tidak jadi balik ke biliknya, sebaliknya kami beriringan ke bilik Fateha yang bersebelahan dengan bilikku.

“Bad mana pulak ni? Engkau ni pandai-pandai je mention nama aku kat orang, aku tak kenallah ‘balak’ tu, tak naklah, malam minggu aku nak rehat,malas nak keluar”.

“Apalah kau ni Lea, tak sporting langsung, asyik terperap kat bilik je… sesekali keluarlah, jumpa kawan-kawan. Senior kita selalu complaint kat aku, kau tu sombong. Sosiallah sikit, kita bukan nak keluar ke mana pun, cuma kat kitchen, diorang nak buat BBQ. Kita tolong masak ek?” Aina masih berusaha memujukku.

Memangku ketahui, ramai senior memperkatakan tentang aku, macam-macam gelaran yang diberikan untukku. Ada yang panggil aku ‘hati kayu’, ‘hati batu’, ‘anti sosial’, ‘minah alim’, ‘ulat buku’ dan bermacam-macam lagi. Semuanya gara-gara aku tidak suka melayan usikan mereka yang ingin mendekatiku. Bagiku, matlamatku adalah untuk belajar dan menamatkan pelajaran seterusnya mengenggam segulung ijazah yang kuidamkan selama ini. Bukan tujuanku datang ke bumi Australia ini untuk berpeleseran dan berhibur tak tentu hala, dan bukan juga niatku untuk bercinta dan menjalin hubungan dengan sembarangan lelaki.

“Hey, tolonglah, tak kuasa aku, kalau kau nak tolong, kau pergilah sendiri jangan babitkan aku , by the way,sapa ‘balak’ tu, aku tak kenal pun….”

“Hem… kau tu , mana nak kenal, asyik terperap jer kat bilik. Bad tu senior kita, CE student jugak, tapi dia dah final year, takkanlah kau tak pernah terserempak dengan dia, kau satu fakulti dengan dia…, memang sahlah kau ni ‘buta kayu’, patut pun ‘mamat kerek’ tu seranah kau hari tu”.

“Hey… cakap baik-baik sikit… don’t you ever mention about him anymore… aku dah lupakan peristiwa tu. Tapi…, kau jaga-jaga sikit Ena, selalunya orang buat baik kat kita ni, ada udang sebalik mee, tak pun dia dah jatuh hati kat kau, sebab tu dia suka tolong kau” usikku pada Aina. Kebelakangan ni sering saja Aina bercerita tentang mamat yang bernama Badrul. Apa-apa hal Bad. ‘Abang Bad tu’…, ‘Abang Bad ni’…sakit telinga aku mendengarnya.

“Ah! kau je yang selalu berprasangka … dia ikhlas tolong aku, biasalah senior tolong junior, kita baru kat sini memang patut pun diaorang tolong. Ala Lea, pelajar melayu kat sini tak berapa kerat pun… kalau kita tak tolong menolong sesama kita, siapa lagi nak tolong. Kan bagus camtu, so petang ni kita tolong masak untuk dia yer.” pujuk Aina lagi.

“Eiii… taknak la, kalau kau nak tolong, kau ajak Aten… aku nak rehat jer.”

“Ala… Lea… tolong lah, pleaseeee, kaulah kawan sejatiku, kawan dunia akhirat, selalu kau tak pernah hampakan aku, Lea baikkan… dia mesti tak sampai hati kecewakan best friend dia ni kan…kan…” pujuk Aina lagi sambil melentok-lentokkan kepalanya ke bahuku. Pandai sungguh dia memujuk untuk mencairkan hati batuku yang selalu menolak untuk bersosial sesama rakan senegara. Bagiku, aku tidak mahu membuang masa tak tentu hal. Lebih baik duduk di bilik berehat atau mengulangkaji pelajaran dari berpeleseran membuang masa dengan berparty. Tapi… demi menjaga hati kawan, aku turutkan juga permintaan Aina.

“Ni yang buat aku lemah ni, kau ni memang suka buat aku camni tau, dari dulu tak berubah-ubah perangai kau ni.”.

“Ala…, Lea kan gadis budiman yang tak sanggup kecewakan kawan…”

“Hem… yer la tu….”

“Okey, petang ni kita tolong diaorang masak yer, ala kita masak dua jenis makanan je, bihun dengan sandwich, yang lain-lain tu Bad dah settlekan dengan kawan-kawan lain. Nanti… aku nak kenalkan kau kat senior-senior kita. Kau kena buktikan yang kau tu taklah sombong macam yang diorang sangka”.

“Ok, oklah… aku boleh tolong, tapi… party-party ni aku tak berapa berkenanlah, rimas, mesti ada muzik, lelaki perempuan bercampur, tu yang tak sedap tu… tapi… takpe demi kawan yang tersayang ni, aku janji, tapi jangan lepak lama sangat yer… aku tak biasa…”

“Ok set…”

No comments:

Post a Comment

 
Dear Diary Blogger Template