Wednesday, January 27, 2010

Cinta Terhenti - Bab 10

Melbourne, November 2002

Rumahtanggan kami terlalu bahagia. Penuh dengan gurau senda dan gelak ketawa. Aku sering terhibur bersamanya, tidak pernah sekalipun aku menyesal kerana mengahwininya. Walaupun pernikahan kami tidak direstui Opah, namun dengan kebahagiaan yang kunikmati aku terlalu bersyukur kerana telah memilihnya. Benarlah kata-kata rakanku dahulu, Danial adalah jodohku yang telah ditetapkan sejak azali. Musuh ketatku kini merupakan suami yang teramatku sayang. Betullah kata orang, ‘jangan terlalu benci seseorang, takut nanti diterbalikkan hati oleh ALLAH, benci jadi sayang”. Itulah yang terjadi dalam kehidupanku. Seseorang yang amat kubenci merupakan seorang yang teramatku sayang kini.

Namun, segala-galanya hanyalah sementara, segala-galanya seketika cuma. ‘Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari’. Itulah perumpamaan yang menggambarkan keadaan rumahtangga kami. Kusangka bahagia berpanjangan rupanya derita menemani hidupku. Mahligai indah anggananku musnah direnggut oleh tangan-tangan kasar yang mencemburui kehidupan bahagiaku. Rasa kasih, rasa cinta dan rasa sayang yang kusemai hingga ke hujung nyawa, akhirnya hilang lenyap di bawa ombak yang ganas. Kenikmatan berumahtangga yang dirasai hanya seketika cuma. Segala-galanya berubah dengan kehadiran tetamu yang tidak diundang. Tetamu yang telah membawa suamiku pergi bersama segala kebahagiaan milik kami.

Segalanya terbongkar, suami yang kusangka anak kepada seorang pemandu dan orang gaji pada sebuah keluarga Tan Sri, rupa-rupanya adalah anak lelaki tunggal kepada Tan Sri tersebut. Betapa selama ini aku telah diperbodohkannya. Aku telah ditipu bulat-bulat. Suatu ketika dulu, aku sering hairan… bagaimana anak seorang pemandu, mampu belajar di luar negara, di sebuah universiti yang terkenal tanpa biasiswa kerajaan. Aku pernah bertanya kepadanya, tapi katanya, Tan sri yang membiayai pengajiannya kerana telah menganggapnya sebagai anak angkat. Tetapi rupa-rupanya, dia adalah anak hartawan ternama itu.

Aku sedang menanti kepulangannya dari Sydney. Dia telah dua hari meninggalkanku kerana menghadiri seminar atas arahan syarikatnya. Aku sedang bersiap-siap kerana kami akan makan diluar apabila kepulangannya nanti untuk meraikan berita gembira buat kami. Setelah hampir setahun berkahwin, aku akhirnya disahkan mengandung lima minggu. Aku ingin memberinya kejutan dengan berita tersebut.

Tiba-tiba loceng pintuku berbunyi. Aku bergegas membukanya kerana menyangkakan suamiku telah sampai. Tetapi, yang terlihat didepan mataku adalah sepasang lelaki dan perempuan yang berpenampilan elegan dan lagaknya seperti golongan hartawan sedang berdiri di depan pintuku.

“Ni rumah Danial Haqim?” Tanpa salam, perempuan itu menyoalku kasar. Aku hairan dan tertanya-tanya siapa gerangan orang yang mencari suamiku.

“Er…er… ya, ni rumah Danial, encik berdua ni siapa? Tergagap-gagap aku menjawab dan bertanya kepadanya pula.

“Hey… aku yang patut tanya kamu ni siapa, sedap-sedap jer duduk di rumah orang…” Sergahnya padaku. Wanita itu begitu garang terhadapku. Tetapi lelaki bersamanya sedikit lembut riak mukanya.

“Er… maaf puan, ni rumah suami saya, saya isteri Danial Haqim…”

“Isteri? Bila masa pulak anak aku berkahwin dengan kamu? Bukan ker kamu ni perempuan simpanan dia? Pisau cukur yang nak mengikis harta anak aku?” Herdiknya dengan muka garangnya.

Anak? Danial anak mereka? Mengapa pula aku dikatakan pisau cukur yang hendak mengikis harta anaknya. Aku isteri Danial Haqim, anak seorang pemandu, bukannya orang kaya ni…

“Maaf… puan, mungkin puan dah tersalah rumah. Ni rumah Danial Haqim bin Rashdan, saya isterinya. Mungkin puan tersalah…” Kataku perlahan tanpa dapat menghabiskan ayat-ayatku setelah dicantas olehnya.

“Hey… aku takkan salah, itu memang anak aku, tu… gambar di dinding tu memang gambar anak aku, Mohd.Danial Haqim bin Tan Sri Rashdan. Kamu tu yang salah, tak kenal suami sendiri. Kamu hanya nak menghabiskan harta dia je… memang dasar orang kampong” Suaranya kuat menengkingku.

Ya ALLAH, apakah yang sedang kuhadapi ini? Apakah benar Danial anak mereka? Tetapi kenapa dia tak pernah berterus terang padaku? Aku terkejut yang amat sangat mendengarkan kata-kata Datin Sri yang merupakan ibu mertuaku. Jika benar perkara ini, bermakna aku telah tertipu. Aku telah ditipu oleh suami yang amat-amat kusayangi dan amat kupercayai. Ya ALLAH… apakah mala pertaka ini? Apakah yang telah berlaku dalam hidupku ini?

Sedang dia galak menuduh dan menghinaku, wajah suamiku terjengol di muka pintu. Mukanya berubah melihat kehadiran dua orang tetamu yang tidak diundang.

“Mama… Papa…macam mana boleh ada disini? Kenapa mama papa datang sini? Dia terkejut. Dia serba salah. Sekejap berpaling padaku, sekejap memandang kedua orang tuanya.

“Danny… sampai hati Danny buat Mama dan Papa macam ni. Danny dah membelakangkan kami. Danny kahwin senyap-senyap… tak umpamakan Mama dan Papa. Kami ingatkan Danny masih belajar, tapi rupanya Danny duduk sini sebab nak sara perempuan ni, dia ni… hanya nak kikis harta kita saja, bukannya dia cintakan Danny…” Berat tuduhan itu terhadapku. Mengapa dia asyik mengatakan aku hendak mengikis hartanya? Padahal aku tidak tahu menahu langsung tentang harta mereka yang menimbun.

“Mama… kenapa mama cakap macam tu, Leana isteri Danny, kami dah lama kahwin, Danny cintakan dia… Danny minta maaf sebab tak bagitau pasal pernikahan kami, tapi Danny ada alasan tersendiri…”

“Mama tak kira…mama tetap tak boleh terima dia sebagai menantu mama, perempuan yang tak tentu asal keturunan yang Danny inginkan, entah dari kampung hulu mana yang Danny berkenankan buat isteri. Mama takkan terima… mama dah ada pilihan yang terbaik untuk Danny, perempuan yang setaraf dengan keluarga kita. Sekarang… samada Danny suka atau tidak , Danny mesti ceraikan dia. Mama nak Danny ikut mama dan papa balik ke Malaysia. Kami dah book tiket untuk Danny, jika tidak jangan harap Danny akan terima satu sen pun dari harta kami, Danny akan jadi anak derhaka, mama takkan halalkan setiap titis susu yang Danny minum sedari kecil”. Bagaikan peluru berpandu dia menyerang suamiku.

Aku terpinga-pinga. Aku terkesima, terkejut dengan perkara yang selama ini menjadi rahsia besar suamiku. Tidak kusangka, rupanya selama ini aku telah ditipu oleh orang yang amat kusayang. Tak sanggup mendengar kata-kata hinaan dan cercaan dari mertuaku, aku melarikan diri ke dalam bilik. Danial menjerit memanggil namaku, tapi tidak kuhiraukan. Aku mengurungkan diri di dalam bilik air dan memasang paip agar tidak mendengar butir bicara mereka. Hatiku terlalu terluka, ibarat kaca terhempas ke batu, hancur berderai punah segalanya. Pedihnya bagai dihiris sembilu.Kepercayaan yang kusemai sekian lama dikhianati sang kekasih hati. Argh Danial! Bertapa kejamnya kamu…

Ternyata, pernikahan kami tidak mendapat restu keluarganya. Aku tak diterima sebagai menantu orang kaya, aku bukan dari keturunan ternama, tidak setaraf dengan kedudukan keluarga mereka. Bak kata pepatah, ‘burung pipit sama enggang, mana boleh terbang bersama.’ Aku hanyalah perempuan kampung yang rendah darjat, tidak setanding dengan mereka yang berketurunan bangsawan. Danial dipaksa meninggalkanku. Dia diberi kata dua oleh mamanya, samada memilih aku dan tidak akan mendapat satu sen pun harta keluarganya atau mengikut mama dan papanya balik ke Malaysia meninggalkanku dan mewarisi segala perniagaan keluarganya. Akhirnya Danial memilih harta dan meninggalkanku yang sedang mengandungkan anaknya.

Aku terlalu kecewa sehingga tidak ingin memandang mukanya, tidak mahu mendengar penjelasannya. Aku meninggalkan rumah ketika Danial keluar menghantar orang tuanya ke hotel penginapan mereka. Aku menyembunyikan diri. Sepanjang malam bertalu-talu panggilan dan pesanan ringkas masuk ke telefon bimbitku namun tidak kuhiraukan.

Danial terpaksa berangkat mengikut keluarganya pulang ke Malaysia pada keesokan paginya tanpa berjumpa dan menerangkan segalanya kepadaku kerana tidak dapat mengesan tempat pesembunyiaanku. Aku menumpang di rumah kawan sekuliahku, Jenny. Dia meninggalkan pesanan ringkas menerusi telepon bimbitku. Dia berjanji akan memujuk keluarganya untuk menerimaku. Dia meminta tempoh untuk memujuk mama dan papanya. Setelah itu dia akan mengambilku dan dia mencadangkan aku menamatkan pelajaranku di Malaysia sahaja.

Tetapi, janji hanya tinggal janji. Tempoh dua minggu yang dijanjikan pergi begitu sahaja. Dia pergi tanpa sebarang berita, seperti batu jatuh ke lubuk, hilang lenyap begitu saja. Hanya di awal pemegiannya sahaja dia menghubungiku. Tetapi ketika itu, hatiku masih panas, aku berdegil tidak mahu menerima setiap panggilannya. Akhirnya dia langsung tidak menghubungiku. Aku bagaikan orang bodoh menunggu dan mengharapkan kepulangannya. Tetapi… ternyata, janji hanya manis dibibir sahaja. Dia tetap tidak kembali. Aku ditinggalkan pergi. Ibarat bunga, sedap dipakai layu dibuang.

Aku bagaikan wau putus tali. Aku putus harapan, hanya mengharapkan takdir menentukan nasibku. Kerana terlalu kecewa, pelajaranku merosot, aku sering ponteng kuliah, tetapi nasib baik rakan-rakan cepat menyedarkanku. Akhirnya aku berjaya bangkit semula. Bangkit dengan azam baru, dengan tekad baru dan dengan dendam yang terpahat terhadapnya. Kekecewaan telah membina kekuatan dan keyakinan diri buatku.

Setelah dia pergi aku tetap tinggal di apartmen yang disewanya kerana dia telah berpesan melalui kawannya Badrul, tidak membenarkan aku keluar dari apartmen tersebut kerana dia telah membeli apartment tersebut dan meletakkan namaku sebagai pemilik. Pada mulanya aku menolak, tetapi atas nasihat kawan-kawan dan atas rasa hormat pada ikatan perkahwinan kami, aku terus tinggal di situ di temani kedua sahabatku.

Bermula dari detik itu, aku bagaikan anak ayam kehilangan ibu, terpaksa mengharungi segala kepayahan dan kesengsaraan sendirian, bak kata pepatah, ‘air diminum rasa duri, nasi dimakan rasa sekam’. Aku teramat sedih, rasa rindu terhadapnya amat mendalam ‘laksana jentayu menantikan hujan’, namun terpaksa ku tahan jua. Jika diikutkan perasaan, aku akan hanyut dalam lautan rindu tak bertepian, akibatnya pelajaranku akan terjejas. Hari demi hari aku cuba bina perasaan dendam terhadapnya. Tetapi… aku sering gagal, kerana rasa cintaku melebihi segalanya. Aku meletakkan anak dalam kandunganku sebagai perantara rasa kasihku padanya. Kerana anakku, aku cekalkan hati dan kuatkan semangat untuk terus hidup dan meraih kejayaan.

Hari demi hari aku meniti kehidupan dengan segala ketabahan yang cuba kubina demi janin yang membesar di rahimku. Aku bernasib baik kerana masih ada kawan-kawan yang sanggup bersusah payah bersamaku mengharungi kehidupan yang penuh ranjau berduri. Dalam kesibukan sebagai pelajar, aku terpaksa berdepan dengan alahan-alahan sewaktu mengandung. Segalanya harus ku hadapi sendirian. Segala keperitan dan kesengsaraan itu membuatkan rasa marahku terhadapnya semakin menebal. Aku semakin menyimpan dendam terhadapnya. Dendam yang tak mungkin akan padam sehingga bila-bila. Itulah tekadku…

No comments:

Post a Comment

 
Dear Diary Blogger Template