Thursday, January 28, 2010

Cinta Terhenti - Bab 13

Dalam perjalanan ke rumah Pak Su, aku masih memikirkan kejadian tadi. Hatiku tertanya-tanya, bagaimana dia boleh berada di situ. Jika dilihat pada aksinya, aku yakin dia sememangnya sedang menungguku. Bukanlah pertemuan kami secara kebetulan. Siapa pulak yang memberitahunya. Apakah Jannah dan Bad? Tetapi mereka telah berjanji, tak mungkin mereka memungkirinya. Mereka adalah sahabat baikku, tidak mungkin mereka tergamak mengkhianatiku. Tetapi…aku lupa, Badrul juga sahabat baiknya. Ada kemungkinan Bad telah menceritakan kepadanya. Segala persoalan menyesak dan menyenak di fikiranku. Pening kepala memikirkannya. Aku pasti dapatkan jawapannya daripada Jannah. Tekad hatiku.

“Lea… kenapa diam jer? Menung lagi? Lea fikirkan apa tu?” Tegur Pak Su apabila melihat aku hanya berdiam diri.

“Tak ada apa-apa Pak Su. Lea letih jer, lama sangat duduk dalam kapal terbang tadi. Kaki dah lenguh-lenguh, pinggang pun sakit-sakit rasanya. Kalau dapat tilam…, emm…sedapnya” Dalih ku.

“Ya lah… sampai rumah nanti, Lea rehatlah puas-puas”. Sampuk Mak Su pula.

“Eh…kita nak ke mana ni Pak Su, ni bukan jalan ke rumah Pak Su kan?” Tanyaku apabila melihat Pak Su membelokkan kereta kearah Nilai, sedangkan rumah mereka di Shah Alam.

“Lea ikut aje la… Pak Su ada surprise untuk Lea” kata Pak Su yang masih hendak berahsia. Aku hanya berdiam diri, apabila Pak Su tidak mahu bercerita. Ikut sahajalah. Takkan Pak Su nak bawa ke tempat yang tidak tentu arah. Biarlah jika dia hendak berahsia. Kata hatiku.

Danish Aakif terlena lagi di pangkuanku. Dia tak lepaskan peluang untuk menyambung rasa kantuknya. Aku membelai-belai rambutnya yang ikal keperangan. Dia adalah sumber kekuatanku untuk terus hidup. Seandainya aku kehilangannya, tak dapat dibayangkan bagaimanakah hidupku. Sesungguhnya aku tidak mampu untuk kehilangan cahaya yang menerangiku, setelah sebahagiannya dirampas dan dibawa pergi, aku tidak betah untuk kehilangan sebahagiannya lagi. Jika cahayanya malap maka akan sirnalah hidupku. Demi anakku, aku dapat meneruskan hari-hariku walau dengan segala kepayahan dan kepedihan, namun kuharungi jua. Aku tidak mahu, kerana kesengsaraan hidupku, anakku akan turut merasa sakitnya.

Dalam kesuraman subuh, kurenung wajah manis dan comel itu. Wajah yang diwarisi dari ayahnya. Mata, hidung, bibir, dagu, segalanya milik ayahnya. Agaknya ketika aku mengandungkannya dahulu, ingatanku terlalu kuat terhadap ayahnya, maka rupa anak yang lahir saling tak tumpah wajah orang dalam ingatanku. Wajah yang pernah suatu ketika dulu menjadi mimpi indahku. Wajah yang sering terbayang di mata. Tetapi kini…,kerana kemiripan keduanya, membuatkan aku sukar untuk melupakannya.

Setiap kali memandang Danish, bayangan wajahnya akan terbias jua. Namun, kelukaan yang ditinggalkannya amat dalam dan menyeksakan. Rasa sakit masih terasa, lukanya masih berdarah. Kata orang, masa akan mengubah segalanya. Namun, bagiku, sebanyak mana masa pun, tidak akan dapat merubah ingatanku terhadap kepahitan yang ditinggalkannya. Aku tidak akan memaafkannya. Dia telah mengkhianati ikatan cinta yang suci murni. Janji setia sehidup semati telah dinodai. Dia harus membayar segala penderitaanku. Dia harus menderita! Itulah ikrarku dari hari pertama dia meninggalkanku. Dendamku terhadapnya membara dan semakin membara.

Tetapi apabila kurenung wajah polos putera tunggalku, segala kemarahan dan dendam seakan lenyap di bawa angin lalu. Aku tidak sanggup melihat anakku kehilangan kasih sayang seorang ayah. Hatiku bagaikan dihiris sembilu setiap kali dia bertanyakan ayahnya. Aku dapat rasakan betapa dia inginkan kehidupan yang sempurna seperti rakan-rakannya. Kehidupan bahagia bagi sebuah keluarga yang lengkap. Ada ibu, ada ayah, ada adik-adik. Tetapi aku tidak mampu memberikannya. Aku sedar, dia terlalu rindukan kasih sayang ayahnya. Tetapi… Aku tidak berdaya. Adakah aku mementingkan diri? Seorang ibu yang sanggup melihat kesuraman dan kesedihan anaknya?

Aku sering keliru…,sering memikirkan apakah yang perlu kulakukan? Apakah aku perlu melupakan segala kesengsaraan dan penderitaan yang ditinggalkan buatku dan memberikan kemaafan di atas segala kesalahannya demi kebahagian anakku? Apakah tindakan sewajarnya yang dapat melenyapkan segala kekusutan? Argh! Keliru!..buntu!…perjalanan hidup tak selalunya indah. Awan mendung tak serik-serik menyinggahi hidupku. Namun akhirnya aku pasrah. Aku berserah agar Tuhan memberikan petunjuk untuk merungkai delima yang kutanggung ini. Dalam benci terselit rindu, dalam rindu berbunga sayang, dalam sayang tersinar cinta. Argh! Keliru! Keliru! Keliru!

*****

“Lea….” Sapaan Pak Su melenyapkan segala yang berlegar-legar di ingatan.

“Kita dah sampai, kejutkan Danish tu.” Arah Pak Su

“Tu hah… Along dengan Angah dah tercegat di muka pintu …” .Tunjuk Mak Su menghalakan tangannya kearah kedua kembarnya. Di muka pintu, dua gadis sunti itu sedang tersenyum memandang kami. Aku mengejutkan Danish dan kemudian membuka pintu untuk keluar.

Aida Mardiah dan Alya Maisara berlari-lari kearahku. Mereka bersalam, memeluk dan mencium kedua pipiku. Gembira sungguh rasanya dapat berjumpa keluarga. Semasa aku meninggalkan mereka dahulu, mereka masih terlalu kecil hanya sekitar tujuh atau lapan tahun sahaja. Tetapi kini, setelah lapan tahun berlalu, mereka telah menjadi gadis sunti yang manis dan jelita sekali. Setelah itu mereka mengomol si kecilku pula, sehingga naik rimas dia dipeluk dan dicium oleh kakak-kakak saudaranya.

“Kak Lea, comelnya anak kak Lea ni… macam anak mat salih, rambut perang, hidung mancung, kulit putih kemerah-merahan, macam mummy dan daddy dia kan Ngah”. Kata Aida pada adiknya.

“Mestilah comel Long…, Kak Lea kan cantik, abang Danny pulak handsome, mestilah anaknya comel, duduk pulak kat negara bersalji, tu yang macam mat salih tu.”. Alya cuba mencerakin sebab musabab yang membuatkan Danish comel di mata mereka.

“Haah la…, Ngah,betul tu, sebab tu Danish ni cute sangat. Eeee….geramnyer, rasa nak cubit-cubit pipi dia”. Kata Aida sambil mencubit kedua-dua pipi Danish. Kelat muka Danish menahan sakit.

“Hey… kalau ya pun geram, janganlah sampai dicubit-cubit pipi Danish tu, kesian mama tengok. Dah merah pipi dia”. Tegur Mak Su. Aku hanya tersenyum melihat tingkah kedua kembar itu. Hatiku sayu, betapa selama ini aku telah memisahkan anakku dengan keluarganya, hanya gara-gara dendamku kepada Danial Haqim, aku telah menyingkirkan diriku dan anakku dari kasih sayang keluarga.

“Tu, kenapa yang menung lagi kat situ, mari masuk rumah baru Pak Su ni. Saja nak bagi surprise kat Lea. Kami baru jer pindah ke sini bulan April tahun lepas.” Terang Pak Su. Rupanya inilah rahsianya tadi. Aku memandang ke ruang tamu rumah semi-D dua tingkat itu. Cantik dan menarik dekorasinya. Gaya kontemporari di suatu sudut, dan sudut yang lain lebih kepada gaya nusantara.

“Cantiknya rumah baru Pak Su ni, luas…selesa… deko pun superb and trendy. Ada gaya kontempori, ada gaya nusantara. Mak Su hias sendiri ker, atau upah ID?” Mataku melingas menikmati keindahan dekorasi rumah baru mereka.

“Ala, Mak Su cuba-cuba buat sendiri, ikut tips-tips dari majalah Anjung Seri dan Impiana, sekarang ni banyak majalah deko kat kedai buku. Beli, lepas tu tiru jer gaya yang di tunjukkan. Rancangan ‘Deko Bersama Eric’ kat Asro Ria pun Mak Su tengok. Mak Su gunapakailah tips-tips dan panduan yang diberi… inilah hasilnya seperti yang Lea tengok ni”. Terang Mak Su panjang lebar. Kreatif dan kreatis juga Mak Su ni.

“Lea…, jangan dilayan sangat Mak Su tu, dia kalau bercakap pasal hias menghias ni, sampai esok pun tak habis. Along… Angah bawa beg Kak Lea ke bilik tetamu, Kak Lea nak rehat, dah letih tu, biar dia rehat sekejap. Nanti… bila sarapan dah siap, kita sarapan bersama ya”. Arah Pak Su.

Alya dan Aida yang masih sibuk memeluk anakku tidak mengendahkan arahan papa mereka. Mereka leka bertanya itu dan ini kepada si kecilku.

“Ala… papa ni, orang tak puas lagi nak peluk-peluk Danish ni. Kita pun belum bersembang dengan Kak Lea lagi. Sungut Alya Maisara.

“Nantikan boleh sembang….biarlah Kak Lea dengan Danish berehat, segar-segarkan badan. Masa sarapan nanti kita sambung. Kak Lea kat sini sampai esok. Malam ni kita dinner sekeluarga kat Allson Klana. Papa dah buat tempahan. Lea balik kampong esok aje ya, keadaan Opah dah beransur pulih dah…tak payahlah tergesa-gesa nak balik”. Arah Pak Su. Aku hanya menganggukkan kepala tanda setuju dengan cadangannya. Apa lah sangat permintaannya yang tak seberapa itu aku penuhi. Lagi pun, badanku masih terasa lesu akibat terlalu lama di kapal terbang. Aku ingin mandi, baring, berehat dan melelapkan mata. Ah! enak rasanya…

Aku mengekori kedua kembar yang menarik beg pakaianku ke bilik tetamu di sudut kiri ruang tamu. Mak Su, kulihat telah menghala ke dapur untuk melihat hidangan sarapan pagi yang disediakan oleh bibik.

“Kak Lea dengan Danish rehat dulu… nanti dah siap sarapan Aida panggil, ok…” kata Aida sambil merapatkan pintu.

Mak Su memang berbakat dalam bidang hiasan dalaman. Walau tidak mendapat latihan khusus, dia masih mampu menghasilkan yang terbaik. Keindahan hiasan dalaman bilik tetamu mereka begitu mempersonakan. Dinding yang dicat dengan warna light purple dan diimbangi dengan perabot yang berwarna dark purple dan off white, cantik dan menarik sekali. Sedap mata memandang. Pasti dia hendak menyenangkan hati tetamunya dengan dekorasi yang indah ini.

Aku mencapai tuala dan bath robe yang disediakan oleh sikembar tadi. Danish sedang merehatkan diri di katil sambil menonton TV, entah apalah cerita yang ditontonnya di awal pagi ni. Aku bergegas ke bilik air untuk membersihkan badan yang terasa melekit. Terpegun aku melihat hiasan dan susunatur bilik air tetamu yang menarik. Mak Su sememangnya berusaha keras dalam menghias rumah baru mereka.

1 comment:

 
Dear Diary Blogger Template