Wednesday, January 27, 2010

Cinta Terhenti - Bab 8

Walau tanpa restu Opah, akhirnya kami dinikahkan juga berwalikan Pak Su sebagai saudara terdekatku dalam majlis yang serba sederhana tetapi meriah. Namun, aku telah menghancurkan hati Opah. Kerana terlalu obsess pada cintanya aku telah dibuang oleh Opah yang teramat sayang padaku. Opah tetap dengan keputusannya tidak merestuiku, dan aku pula tetap dengan kedegilanku untuk berkahwin dengannya.

Aku merenung jari jemariku yang merah berinai. Mak Su dan sanak saudara telah bersusah payah memujukku untuk berinai pada malam tadi. Segala persiapan telah diatur sebaik mungkin. Pelamin telah berdiri megah dengan tema kuning keemasan. Bilik tidur pengantin telah terhias indah. Bunga pahar telah digubah cantik. Khemah-khemah jamuan telah didirikan di halaman rumah. Segala-galanya telah diuruskan oleh Pak Su dan Mak Su dan dibantu oleh saudara mara sebelah arwah emak. Malam tadi aku dan Danial telah selamat diijabkabulkan di masjid . Pak Su yang meminta agar kami dinikahkan pada malam jumaat, untuk mengambil berkat malam jumaat katanya. Selepas tamat majlis akad nikah, rombongan pengantin lelaki pulang ke K.Lumpur.

Esok adalah hari berbahagia buatku. Setiap gadis dan teruna pasti teruja menantikan hari yang paling berbahagia. Hari pasangan dinobatkan sebagai raja sehari. Namun bagi diriku, aku tidak dapat merasakan perasaan itu, jiwaku kosong, hatiku kering kontang…gersang, semangatku terbang entah kemana. Walaupun aku ternanti-nanti saat indah yang membahagiakan ini, namun hatiku tetap pilu. Di hari bahagiaku, orang-orang yang kusayangi tiada di sisi. Ketiga-tiga insan tersayang telah bersemadi dengan aman di alam sana tetapi, Opah yang masih ada di dunia ini, tetap tidak mahu meraikan hari bahagiaku.

Pada hari ‘menggantung’ iaitu hari bermula upacara pernikahan mengikut adat istiadat perkhawinan perak, dimana acara menegak pelamin dan menghias bilik pengantin dilakukan, Opah telah keluar meninggalkan rumah pusaka arwah Aki. Opah meninggalkan majlis perkahwinanku yang dilangsungkan di rumahnya sendiri. Opah begitu tega meninggalkan majlis perkahwinan cucu kesayangannya tanpa mengira tetamu dan saudara mara yang telah ramai bertandang. Aku meraung dan cuba menghalang. Namun, Opah tetap pergi tanpa menoleh ke arahku.

Bermula dari detik itu, airmata menjadi teman setiaku. Dalam kesibukan sanak saudara menyiapkan majlisku, aku hanya berdiam diri di dalam bilik melayan perasaan dukaku. Malah panggilan telefon daripada Danial juga tidak kulayan.

“Lea… Lea… jawaplah panggilan ni. Haqim nak cakap dengan Lea ni. Dia risaukan Lea.” Mak Su menghulurkan telepon bimbitku. Aku tetap mendiamkan diri. Aku seperti sudah tiada perasaan. Hati dan jiwaku kosong, sekosong-kosongnya. Segalanya telah dibawa pergi oleh Opah.

“Lea…tolonglah, kesian dia, dah berkali-kali dia telepon nak cakap dengan Lea. Dia risaukan Lea”. Dengan perlahan aku mencapai telefon dari tangan Mak Su.

“Hello…” Aku bersuara perlahan, berat rasanya untuk melontarkan patah-patah perkataan.

“Lea… kenapa ni? Kenapa sedih sangat? Lea tak gembira dengan perkahwinan kita?” Bertalu-talu soalan dari suamiku.

“Sayang… janganlah sedih sangat, nanti kita pujuk Opah ya. Tomorrow is our big day, we should be happy, this is a moment we waiting for, please don’t spoil the mood Sayang. I want to be happy with you. I’ll promise I’ll take care of you. Abang akan buktikan pada Opah, abang adalah pilihan Sayang yang terbaik. Opah takkan menyesal dengan pilihan Sayang…”

Aku cuba mengembalikan semangat yang hilang. Aku bersolat dan berdoa meminta kepada yang maha ESA agar memberkati setiap tindakanku dan memberi ketenangan pada diriku untuk menghadapi hari esok. Aku tidak mahu kelihatan seperti pengantin ‘kahwin paksa’ yang tiada serinya. Kesian suamiku. Tentu dia inginkan majlis perkahwinan yang meriah dan wajah pengantin perempuan yang berseri-seri di atas pelamin. Dia pasti inginkan aku gembira menerimanya sebagai suami. Semestinya aku gembira, dia adalah lelaki yang kucintai. Tetapi takdir telah menentukan aku tidak boleh mendapat kesemuanya. Aku mendapat suami yang kucintai, tetapi dalam masa yang sama aku terpaksa kehilangan Opah tersayang.

Malam itu, buat kesekian kalinya aku pergi ke rumah Kaknyah, sepupuku sebelah arwah emak untuk berjumpa Opah. Aku ingin memujuknya agar hadir dan merestui perkahwinanku.Tetapi Opah tetap dengan keputusannya. Betapa kerasnya hati Opah.

Apa kehae lagi kamu nak jumpe dengan aku nipergilah pada laki yang kamu sayang tu, buat apa kamu cari orang tua yang tak guna ni lagi..., pergi…pergi… aku tak ingin tengok muka kamu lagi… aku takde cucu yang derhaka macam kamu ni…”

Aku hampir pengsan mendengar kata-kata Opah. Airmata berhamburan keluar. Aku meraung. Sedihnya hati tak terkira, aku sesungguhnya telah dibuang oleh Opah yang amat kusayang. Opah telah meyisihkanku. Nasib baik Mak Su menemaniku. Mak Su memujuk agar aku pulang sahaja. Hati Opah sedang panas tiada siapa yang dapat melembutkan dan memujuknya lagi. Aku tahu, Opah terlalu kecewa dengan tindakanku sehingga tidak dapat memaafkanku. Aku telah menjadi cucu derhaka baginya. Aku telah mengabaikan perasaannya. Mungkin Opah merasakan kasih sayang dan perhatianku akan beralih kepada suami setelah aku berkahwin dan aku tidak menyayanginya lagi seperti selalu.

Walau tanpa kehadiran Opah, majlis perkahwinanku berlangsung dengan lancar dan meriah. Kami bagaikan pinang dibelah dua, sama cantik dan sama padan tersenyum simpul di atas pelamin. Aku terpaksa menunjukkan riak wajah yang gembira dan ceria, walaupun hati sedang dirundung duka. Aku tidak mahu merosakkan kegembiraan suamiku. Takut dia menyangka aku tidak menyukai perkahwinan kami. Tapi sebenarnya jauh di sudut hatiku yang dalam, aku menyimpan perasaan untuk membatalkan perkahwinan kami kerana tidak mahu menderhakai Opah. Tapi bila mengenangkan segalanya telah dirancang dengan baik oleh Pak Su dan Mak Su dan juga kerana tidak mahu melukakan hati Danial, aku terpaksa meneruskan segalanya.

Keesokan harinya, setelah segalanya selesai, aku dan Danial ditemani PakSu dan Mak Su pergi berjumpa Opah untuk mendapatkan restunya. Namun aku tetap kecewa. Opah tidak mahu keluar dari bilik ketika kami datang. Walaupun aku merayu-rayu sambil menangis di depan pintu, Opah tetap tidak mahu membuka pintu. Hatiku terlalu luluh dengan segala yang berlaku. Petang itu juga Danial membawaku ke rumah keluarganya setelah dinasihat oleh Pak Su dan Mak Su. Mereka risau melihatkan keadaanku yang semakin lemah dan tertekan.

“Haqim bawalah Lea pergi dari sini, Pak Su takut dia semakin tertekan. Kalau dia disini tentu dia masih nak jumpa Opah. PakSu tau, Opah takkan mahu jumpa dia lagi, biarlah dulu,nanti Pak Su pujuk Opah. PakSu lebih faham sikap mak Pak Su. Dia tengah marah, dia takkan mahu bertolak ansur, tapi lama kelamaan nanti dia akan okey. Lea, cucu yang dia paling sayang, takkan dia nak buang Lea macam tu jer. Pak Su percaya, nanti Opah akan terima dan restui perkahwinan kamu berdua. Sabarlah ya…”

Sehinggalah kami kembali ke Melbourne, kami masih tidak mendapat restu dari Opah. Aku pergi sebagai seorang cucu derhaka yang terbuang…

No comments:

Post a Comment

 
Dear Diary Blogger Template