Monday, February 1, 2010

Cinta Terhenti - Bab 17

Alahai! Apalah nak jadi dengan aku ni! Terlalu asyik dengan kenangan silam. Dalam pada aku bersiap-siap di depan cermin sambil menyikat rambut lurusku, aku masih boleh terkenangkan kisah silam. Entah kenapa aku asyik terkenangkan memori lapan tahun yang lalu, kenangan terindah takkala cinta bersemi. Adakah aku rindukannya? Adakah aku merasakan diriku dekat dengannya. Apatah lagi dengan peristiwa pertembunganku dengannya pagi tadi. Segala kenangan terlayar satu persatu di lipatan memori. Ya ALLAH Ya TUHANKU… mengapakah perasaanku begini? Aku tidak boleh terlalu mengingati dirinya. Aku harus ingat, aku marah padanya, aku benci dia, aku berdendam padanya. Mana mungkin aku teringat segala kenangan indah kami.

Aku merenung ke luar tingkap. Kereta MPV tadi sudah tiada di situ. Entah bila orang itu beredar, tidak kusedari. Aku leka memandang Alya melayan puteraku bermain kereta kawalan jauh. Riuh rendah keduanya bermain. Terhibur hatiku melihatkan gelak tawa permata hatiku. Aida sedang duduk diwakaf memerhati keduanya bermain. Apabila menyedari kehadiranku di tepi tingkap, dia melambai-lambai ke arahku sambil menunjuk kepada hidangan minum petang di meja. Aku menunjukkan tanda ‘tunggu’ dengan tanganku. Baru aku teringat, Danish telah menyampaikan pesanan, Aida mengajak aku minum petang sebentar tadi.

Aku membelek penampilanku di hadapan cermin. Tidak dinafikan, aku tergolong dalam kategori wanita berperwatakan menarik. Kulitku putih kuning, hidung mancung terletak, mata terbentuk menarik dengan bulu mata melentik. Kening terbentuk rapi. Bibir bagaikan delima merekah dengan tubuh badan yang tinggi langsing. Pakej legkap untuk menjadi peragawati atau pramugari. Bak kata orang tua-tua bagai bulan purnama penuh. Malah, ramai rakan-rakan menggelarku klon Erra Fazira. Entah apa-apalah orang-orang ni, suka sangat menggelar dan memberi jolokan pada seseorang, macam artis ni, macam pelakon tu…

Ah! kalau dah perangai manusia macam tu, apa nak dikatakan. Biarlah mereka nak kata apa pun, nak gelarkan aku serupa artis ni atau pelakon tu…tapi, yang pentingnya aku adalah diriku sendiri. Aku tidak akan terpengaruh dengan kata-kata orang. Aku bersyukur kepada yang MAHA ESA kerana telah mengurniakan segala kesempurnaan buat diriku. Aku berdoa agar diri tidak menjadi bongkak dan riak pada kelebihan yang dikurniakan. Amin…

Tok…tok… tiba-tiba terdengar bunyi ketukan di kaca tingkap. Rupanya Aida sedang mengetuk di tingkapku.

“Kak Lea, apasal lambat sangat ni, bersiap mengalahkan pengantin. Aida ajak minum petang kat luar ni, takkanlah nak bersiap beria. Lama betul kat depan cermin tu.” Sungut Aida.

“Okey… okey… Kak Lea keluar, nak pakai tudung sekejap, tunggu ya…” Aku memberi isyarat tangan agar dia bersabar menunggu.

*****

Mummy… come join us, Danish sukalah main kat sini…” suara ceria anakku. Dia berlari kearahku dan terus memeluk kakiku. Ah! Danish… jika moodnya baik, memang terhibur melihat keletahnya. Kanak-kanak… memang dah resamnya begitu. Mood mereka sering berubah-ubah mengikut situasi dan perasaan mereka. Jika gembira, mereka akan ketawa sepuasnya, tapi jika ada yang menggangu perasaan mereka akan menjadi suram dan jika sedih mereka akan menangis. Perasaan yang ditunjukkan bukanlah dibuat-buat, tidak berpura-pura seperti orang dewasa. Mereka masih belum pandai mengawal perasaan mereka.

Okay sayang, you just continue playing with Kak Alya. Mummy nak minum petang dengan Kak Aida. Sayang dah minum ker?

Dia tersenyum dan mengangguk laju lalu terus berlari ke arah Alya untuk meneruskan permainan mereka. Aku menyertai Aida dan bibik untuk minum sambil menghirup udara petang yang segar. Patutlah Pak Su memilih kawasan perjiranan ini. Keadaan di sini nyaman dengan udara yang bertiup segar dan jauh dari kesibukan kota. Aku merasakan seperti tinggal di kawasan perkampungan. Aku turut bergelak ketawa melihat keletah Danish dan Alya bermain.

“Kak Lea, Aida nak tanya satu soalan boleh tak?” Tiba-tiba Aida bersuara setelah bibik meninggalkan kami berdua di wakaf.

Aku kehairanan mendengarkan cara soalan diajukan. Kedengarannya seperti sesuatu yang amat serius ingin ditanyakan kepadaku.

“Aida nak tanya apa? Nak dengar cerita pengalaman Kak Lea kat oversea lagi?” Tekaku.

“Emmm… soalan ni peribadi sikit, Aida takut Kak Lea tersinggung…”

“Hey… apa ni, tanyalah… kalau Kak Lea boleh jawab, Kak Lea jawablah.”

“Sebenarnya Aida nak tau, macamana Kak Lea boleh kahwin dalam usia muda, dah tu tanpa restu Opah pulak. Kak Lea terlalu sayangkan Abang Danny ker? Kenapa tak tunggu sampai habis belajar baru kahwin?”

“Aida masih ingat lagi, masa tu kami kecik, Papa dengan Mama bawak kami balik kampung, lepas tu kami dengar Opah marah dan jerit-jerit kat Kak Lea. Kak Lea menangis teruk, Mama yang pujuk Kak Lea…”

Alahai! Aida ingin membawa aku ke kenangan silam yang memilukan. Mungkin mereka tidak faham apa yang telah berlaku pada diriku. Ketika itu mereka masih kecil, mungkin sekitar umur tujuh atau lapan tahun. Mereka tidak mengerti apa yang ku alami. Mungkin sudah sampai masanya aku bercerita kepada mereka, supaya mereka tidak mengikut jejak langkahku memilih jalan yang salah.

“Hem… Aida serius ker nak tau, kenapa Aida nak tau? Apa yang Aida dah tahu setakat ni?” Soalku bertubi-tubi.

“Aida tak tau apa-apa, cuma pagi tadi bila Kak Lea cakap pasal kami jangan ikut jejak langkah Kak Lea, Aida jadi tertanya-tanya, Kak Lea dah buat apa sebenarnya, sampai Opah terlalu marah. Mama dan papa tak pernah cerita. Cuma bila papa telefon Kak Lea, Papa bagitau Kak Lea kirim salam, tapi kami tak pernah diberitahu apa sebenarnya yang telah berlaku pada kehidupan Kak Lea. Aida teringin sangat nak tau …”

Dengan berat hati, aku terpaksa membuka semula lipatan kenangan silam. Satu per satu peristiwa terpamer di ruang memori. Ah! sukarnya untuk melupakannya terus dari ingatan.

“Aida… mungkin dah ditakdirkan Kak Lea jatuh cinta dalam usia muda. Ketika tu, Kak Lea baru sembilan belas tahun. Akak dapat tawaran belajar di Melbourne, memang ketika itu akak suka sangat, sebab Kak Lea memang bercita-cita nak belajar di situ. Masa tu, arwah abah, emak dan Kakyong dah meninggal, hanya Opah dan Papa Aidalah tempat Kak Lea menumpang kasih.” Sayu hatiku untuk membuka lembaran sejarah duka hidupku.

“Aida ingat tak kat arwah abah, emak dan kakyong Kak Lea?”

“Aida ingat sikit-sikit jer, sebab masa tu kecik lagi, kami baru darjah satu. Lagipun kita jarang berjumpa. Bila balik kampong jer kita jumpa sekeluarga, Aida tak ingat sangat…”

“Ya la… masa tu Aida sekeluarga tinggal di Johor, keluarga Kak Lea pulak di K.L. Cuma Kak Lea jer tinggal dengan Opah kat kampong…”

“Kenapa… kenapa Kak Lea tinggal di kampong, sedangkan keluarga Kak Lea di K.L? Kenapa tak tinggal sekali dengan abah dan emak Kak Lea?”

Aku menarik nafas panjang. Sukarnya untuk aku mengimbau kembali kepada kenangan yang tidak menyenangkan.

“Entahlah Aida, Kak Lea sendiri tak tau, tapi Kak Lea suka tinggal dengan Opah. Opah manjakan akak, apa yang akak mintak, Opah mesti bagi. Tapi Opah pun garang jugak tau…, kalau akak degil, mesti kena pukul dengan Opah…”

Aku merenung kembali nostalgia kisah hidupku beberapa tahun yang lalu. Segalanya kuceritakan kepada Aida, bagaiman perkenalanku dengan Danial sehingga membawa ke gerbang perkahwinan yang tidak direstui Opah dan menjadikan aku cucu terbuang. Walaupun perit, segalanya adalah sebahagian dari hidupku. Aku tidak boleh meninggalkan sebahagian dari kehidupanku. Kerana tanpa masa lampau, aku tidak akan menjadi seperti diriku sekarang.

*****

“Kak Lea… Aida tak sangka kisah cinta Kak Lea penuh tragis dan menarik sekali. Patutlah Kak Lea sanggup berhadapan dengan kemarahan Opah. Dan Kak Lea tetap berdegil dengan keputusan Kak Lea, sebab Kak Lea benar-benar yakin dengan cinta Abang Danny. Bestnya kalau Aida pun dapat pengalaman menarik macam ni.” Aida teruja setelah mendengar kisah cintaku. Tetapi sayangnya dik! Kau tak tahu kisah cintaku selanjutnya… pilihan yang kusangkakan adalah terbaik buatku rupanya adalah racun yang amat berbisa yang telah memusnahkan kebahagianku keseluruhannya. Dia telah meninggalkan kakakmu ini demi keluarganya. Dia telah mengkhianati cinta suci yang kami semai bersama. Dia telah melupakan ikrar janji sehidup semati. Aida… andainya kau tahu bagaimana kehidupanku, tentu kau akan serik untuk bercinta dik…

No comments:

Post a Comment

 
Dear Diary Blogger Template