Wednesday, February 3, 2010

Cinta Terhenti - Bab 22

Aku bangun pagi itu dengan perasaan lega bila melihat dia masih nyenyak tidur di sofa. Ini bermakna dia tidak melakukan apa-apa yang pelik padaku semalam. Badannya mengerekot menahan kesejukan dari udara penghawa dingin. Silap aku juga, kerana terlupa hendak memberinya selimut semalam. Kesian pulak aku melihat dia tidur dalam keadaan yang tidak selesa begitu. Aku lantas mengambil selimut yang kupakai dan kuselimutkan ke tubuhnya pula. Biarlah dia merasa panas dari bahang selimut yang menyelimutiku sebentar tadi.

Jika diikutkan perasaan marahku, tidak ingin aku menyelimutkannya. Biarlah dia mengigil kesejukan. Tapi…Ah! mungkin inilah kelemahanku, mudah berasa kesian apabila melihat kesusahan orang lain. Ramai yang mengatakan aku berhati batu, tapi jauh dilubuk hatiku, aku adalah seorang yang sangat sentimental. Hatiku cepat tersentuh bila melihat perkara-perkara yang menyedihkan. Namun dalam masa yang sama, hatiku mampu menjadi sekeras-keras kerikil jika aku merasakan perkara itu berlawanan dengan pendapat dan naluriku.

Jam menunjukkan ke pukul 5.00 pagi. Masih ada lebih kurang satu jam sebelum masuk waktu subuh. Aku baring bermalas-malasan di atas katil sambil mata merenung ke arah sekujur tubuh yang sedang lena di hadapanku. Lena benar nampaknya dia. Mungkin terlalu letih menguruskan sebuah syarikat yang besar. Mataku terus sahaja merenungnya. Wajah tampannya kurenung dari jauh. Wajah putih bersih kemerahan itu yang telah memerangkap aku ke dalam pelukan asmaranya. Suamiku seorang yang tampan, bergaya dan berkarisma. Tempoh tujuh tahun ini telah menjadikannya lebih matang. Terserlah penampilannya sebagai seorang Pengarah Urusan syarikat multinasional.

Danial, andainya kau tidak meninggalkanku dulu, andainya kau memilih aku daripada harta dan keluargamu. Tentu saja kita hidup bahagia sekarang. Tentu sahaja kita punya keluarga yang rukun dan damai dengan anak-anak sebagai penyeri kehidupan. Tetapi…segalanya adalah andaian semata-mata. Kenyataannya… kau tetap pergi, kau meninggalkanku dengan segala penderitaan.

Kelukaan demi kelukaan kau gores di hatiku. Tidak cukup dengan pembohonganmu mengenai keluargamu, kau tambah dengan satu lagi sandiwara yang amat-amat mengejutkanku.Pemergianmu telah membuka segala sandiwaramu selama ini. Rupa-rupanya lelaki yang kucintai adalah lelaki durjana yang amat kejam. Kau mempermainkan cintaku. Kau mempersendakan kasih sayangku. Argh!!! Danial! Danial! Mengapalah kau begitu tega menghancurkan hatiku? Kau dengan rakusnya telah membunuh segala perasaan sayangku terhadapmu!

Melalui Badrul dan teman-temannya, segalanya terbongkar. Rupa-rupanya selama ini, mereka telah bertaruh untuk mendapatkan cintaku. Danial telah bertekad akan menundukkan aku ke dalam jerat asmaranya. Dia telah menyahut cabaran kawan-kawannya untuk mendapatkan ‘si hati kayu’, ‘si minah blur’ yang dikatakan sombong dikalangan mereka. Hanya kerana aku tidak melayan usikan dan ajakan mereka, aku telah dijadikan bahan taruhan diantara mereka. Sesiapa yang dapat menundukkanku di kira jaguh.

Terbukti, Danial adalah jaguh diantara mereka. Dia berjaya menghancurkan seluruh kehidupanku. Kejayaannya teramat besar, kerana dia berjaya membuatku menderita seumur hidup. Melalui Badrul juga aku mendapat tahu, Danial adalah dalang dalam komplot perkosaanku. Dia telah mengupah remaja-remaja itu untuk menculikku supaya dia dapat menyelamatkanku dan menjadi heroku. Dia juga telah merancang kemalangan diantara aku dengannya dipertemuan pertama kami. Dia secara sengaja telah melanggarku sebagai strateginya untuk berkenalan denganku. Ah! Danial! Danial!.. kau memang lelaki bangsat, bagaimana aku dapat memaafkanmu. Dosamu terlalu besar terhadapku.

Namun, dia adalah suamiku… Danial adalah suamiku yang sah. Selagi tiada ucapan cerai, selagi tiada sebutan talaq dijatuhkan buatku, aku masih isterinya. Aku tetap terikat dalam perkahwinan ini. Sebagai isterinya, aku harus menjalankan tanggungjawabku. Aku harus patuh pada perintahnya. Aku harus lembut melayaninya.Tapi apa yang aku lakukan kini? Aku berdosa kerana menidakkan haknya. Dia berhak terhadap diriku keseluruhannya. Tetapi… aku tidak rela. Hatiku masih tertutup untuk menerimanya. Walau dalam masa yang sama aku tersangat ingin dibelai olehnya. Aku terlalu rindukan kasih sayangnya. Ya ALLAH Ya TuhanKu. Apakah jalan penyelesaian bagi masalahku ini? KAU berilah petunjuk agar dapat kami selesaikan segala kekusutan ini. KAU lembutkanlah hatiku untuk menerimanya semula.

Laungan azan subuh dari surau berhampiran mengejutkanku dari khayalan yang berpanjangan. Segera aku bangun dan masuk ke bilik air untuk membersihkan diri dan berwudhuk. Danial masih lena walau dalam ketidakselesaan tempat pembaringannya. Aku terus sahaja mengadap ILAHI menunaikan kewajiban sebagai seorang muslim yang hakiki. Aku berdoa agar Tuhan membuka pintu Rahmatnya supaya dapat kami menyelesaikan masalah ini. Setelah berdoa panjang, aku bersiap sekadarnya sahaja. Aku mengenakan T-shirt lengan panjang dengan kolar ‘turtle neck’ berwarna merah pekat dan dipadankan dengan seluar jeans berwarna hitam.

Siap merapikan diri, aku menghampiri sekujur tubuh di sofa dua tempat duduk itu. Aku teragak-agak untuk menyentuhnya. Serasakan bagaikan ada kejutan elektrik jika aku menyentuhnya. Tetapi… rasanya…perkataan sebenarnya adalah kejutan asmara, kerana ketika dia menyentuhku, aku merasakan bagai satu kuasa ajaib yang sedang mengalirkan alirannya membawa ke jantungku dan jantungku akan berdegup kencang. Segala urat sarafku menjadi kejang. Kuasa apakah yang kau pakai Danial, sehingga bisa sahaja membuatkan aku lemah dengan sentuhanmu.

Namun aku cekalkan hati, aku harus mengejutkannya. Jika tidak aku akan terpalit sama dalam dosanya meninggalkan waktu solat kerana tidak mengejutkannya. Dalam debar aku memanggil namanya, tapi tiada respon. Berkali-kali aku ulang memanggilnya, namun dia masih dalam lenanya. Aku terpaksa melutut bagi mendekatkan diriku dengannya, supaya dia dapat mendengar suaraku. Aku terus memanggilnya.

Tiba-tiba aku merasakan bahuku menanggung berat beban sesuatu. Ya ALLAH… rupanya tangannya telah memeluk bahuku. Dengan mata terpejam, dia mengeratkan pelukannya, membuatkan aku semakin rapat ke dadanya. Dada kami bertemu. Mukaku terlalu hampir dengan mukanya. Tanpa membuang masa dia telah menciumku. Bibirnya mengomol bibirku sepuasnya. Setelah itu dia membenamkan bibirnya ke leherku.

Aku terpana dengan tindakan pantasnya. Aku cuba melepaskan diri. Aku meronta-ronta minta dilepaskan. Akhirnya dia merungkaikan pelukannya. Aku terus bangun sambil menjegilkan mata terhadapnya. Tapi dia hanya tersenyum gembira. Aku benci dia! Aku benci dia! Dia telah bermain taktik kotor untuk menawanku. Tanpa menunggu lama aku berlari keluar dari bilik itu. Airmataku menitis laju. Danial! Mengapa kau lakukan ini pada diriku. Aku isterimu, aku selayaknya kau layan dengan sebaik-baiknya. Bukan ini caranya untuk mendapatkanku. Bukan cara paksaan. Jika kau menunjukkan kasih sayangmu, pasti aku akan kalah. Kerana aku juga mendambakan dirimu.

*****

Aku melarikan diri ke taman mini Mak Su. Keadaan di luar masih gelap walaupun jam telah menunjukkan ke pukul 6.30 pagi. Angin subuh bertiup lembut. Menyapa mukaku yang basah dek airmata. Terasa dinginnya. Aku duduk merenung taman dalam kesuraman cahaya pagi. Aku menenangkan fikiran dengan menikmati keindahan cahaya rembang disubuh hari yang dihiasi dengan tumbuhan hijau di taman mini milik Mak Su. Aku tersedar kereta CRV Pak Su tiada di tempat parkirnya. Mungkin Pak Su keluar ke surau atau berjogging. Aku meneruskan menunganku di situ, berharap hatiku terubat dengan pemandangan indah disubuh hari.

“Lea…sayang… abang mintak maaf… abang tak sengaja…”. Entah bila dia menghampiriku, sedar-sedar dia telah berada di belakangku.Penampilannya dengan baju melayu, bersongkok dan berkain pelekat menunjukkan dia baru selesai menunaikan solat subuh. Tenang hatiku melihatnya. Terlerai rasa marah yang berbuku. Tetapi… aku tetap berkecil hati dengan tindakannya terhadapku sebentar tadi…

Please Lea, say something… Lea marahlah abang… memang abang silap. Abang terlalu ikut nafsu… tapi sebenarnya, abang terlalu rindukan Lea. Abang teringin sangat nak peluk Lea…” Dia terus memujukku. Aku hanya mendiamkan diri. Tiada kata-kata yang dapatku luahkan. Segalanya terbenam di kerongkongku. Segalanya bagaikan tersekat tidak mahu keluar walau sepatah pun.

Please sayang… please forgive me… abang janji, perkara ni takkan berulang lagi. Abang takkan paksa Lea. Abang akan tunggu sehingga Lea benar-benar bersedia untuk terima abang kembali. Tapi Lea, jangan berdiam diri… abang rasa bersalah sangat… Lea marahlah abang, abang rela kena maki dengan Lea, daripada Lea diam macam ni, Lea luahkanlah kemarahan Lea tu…” Dia tidak berputus asa memujukku.

“Takper lah… Lea maafkan abang… mungkin salah Lea jugak… Lea abaikan tanggungjawab Lea. Lea biarkan abang memendam perasaan rindu pada Lea…”. Namun kata-kata itu hanya mampu terucap di kerongkongku sahaja. Aku tidak mampu meluahkannya keluar.

“Lea… tolonglah Lea… jangan buat abang macam ni… abang dah cukup terseksa dengan perpisahan kita selama ni, tolong jangan siksa abang lagi. Abang rela buat apa saja untuk Lea, tapi tolong maafkan abang… abang memang tak sengaja tadi… semua tu kerana abang terlalu rindukan Lea. Semua tu bukan kerana nafsu… tapi kerana abang terlalu sayangkan Lea. Dah lama abang teringin nak peluk Lea, abang nak dakap Lea sepuasnya… tapi Lea tetap dingin. Tindakan tadi adalah tindakan di luar sedar. Tolong maafkan abang, sayang… please…” Nada suaranya bagaikan hendak menangis. Kesian pulak aku melihatnya.

“Okeylah… I maafkan you… tapi tolong jangan buat lagi… I tak suka, I bukan perempuan murahan yang you boleh main terkam saja. I ada maruah diri. Harap you faham…”. Akhirnya aku tiada pilihan selain berlembut dengannya.

“Lea isteri abang…abang tak pernah anggap Lea macam tu, apa yang berlaku kerana abang terlalu sayangkan Lea. Tapi… Lea juga bertanggungjawab pada kejadian tadi. Kalau Lea tidak bersikap dingin, perkara itu takkan berlaku, Lea harus ingat tanggungjawab Lea. Seorang isteri yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan puasanya”.

“Lea ingat tak, apa yang pernah kita baca bersama dulu. Betapa istimewanya wanita dalam islam. Dengan hanya menjaga tertibnya terhadap suami, dia telah mendapat keistimewaan yang ALLAH berikan. Lea lupa ker? Lea yang selalu ingatkan perkara ni pada abang dulu. Lea juga selalu ingatkan abang supaya taat pada mama, sebagaimana Aisyah r.a pernah berkata "Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab baginda, "Suaminya." "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah S.A.W "Ibunya."

“Lea yang ajar abang semua ni, tetapi sekarang kenapa Lea lupa? Kalau dulu abang jahil tentang agama, tapi setelah kita kahwin, Lea telah sedarkan abang. Abang belajar sedikit demi sedikit untuk melengkapkan diri abang dengan ilmu agama supaya dapat membimbing Lea dan anak-anak kita. Tapi… kenapa Lea berubah? Kenapa Lea lupa pada apa yang menjadi pegangan Lea selama ni?”

Aku terkedu mendengar kata-katanya. Segala kata-katanya benar belaka. Aku yang berdosa… aku yang berdosa kerana telah lalai dalam api dendamku terhadapnya. Ya ALLAH… ampunkanku. Sesungguhnya aku telah terleka, aku telah berjaya ditakluki oleh syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan umat Nabi Muhammad S.A.W.

Aku menangis tersedu-sedu, menyesali kealpaanku selama ini. Dia terus memelukku erat. Dia membawa aku ke dalam dakapannya. Lama kami dalam keadaan begitu. Aku rasakan segala yang terbuku dihatiku bagaikan terlerai segalanya. Segala beban derita yang kutanggung selama ini hilang lenyap serta merta. Ya ALLAH besarnya Zat Mu Ya ALLAH. Sesungguhnya benarlah kata-kata pakar Motivasi Negara Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah, “Ubat yang paling mujarab bagi menghilangkan segala rasa benci dan dendam yang akan mendorong ke arah kemaafan adalah rasa kasih sayang. Orang yang memberi kemaafan akan mendapat ketenangan dan ketenteraman jiwa. Hanya cinta dan kasih sayang adalah jawapan yang dapat menyembuhkan segala penyakit dendam”.

“Maafkan Lea… Lea dah berdosa,… selama ni Lea abaikan abang dan anak kita. Lea terlalu mengikut perasaan marah. Lea terlalu sakit bang… sakit ditinggalkan… sampaikan Lea dah tak boleh jadi diri Lea yang sebenar…”.Aku masih terisak-isak dalam dakapannya. Dia membelai-belaiku lembut.

“Semuanya salah abang… abanglah punca segalanya… abang yang buat Lea menderita. Maafkan abang, sayang. Abang tersepit antara kasih sayang mama dan isteri. Abang tak mampu buat pilihan. Mama insan yang amat berjasa pada abang. Tanpa mama dan papa, abang takkan lahir ke dunia ni. Mama dah bersusah payah membesarkan abang, beri didikan dan pelajaran yang secukupnya untuk abang, takkan abang sanggup untuk ketepikan mama. Tapi… abang juga sayangkan Lea dan anak kita. Abang tersepit antara kedua wanita yang abang sayang. Tapi… abang hanya dibenar buat satu pilihan, samada sayang atau mama. Masa tu, abang sentiasa teringat kata-kata Lea, bagi lelaki, orang yang lebih berhak ke atasnya adalah ibunya. Jadi abang ikut kata-kata Lea. Abang harap Lea faham keadaan abang…”

“Sudahlah… Lea dah letih ni, eloklah kita masuk ke dalam, mungkin Danish dah bangun, nanti dia tercari-cari kita pulak.” Dia memujukku.

“Bang… Lea mintak satu jer… beri Lea masa, segalanya bagaikan mimpi, Lea perlu masa untuk betulkan semua ni. Lea perlu masa untuk sesuaikan diri dengan keadaan sekarang. Dah terlalu lama kehidupan Lea hanya bersama Danish.Jadi Lea mintak abang bersabar, jangan terlalu mendesak Lea. Hidup kita masih banyak rintangan dan halangan. Masih banyak cabaran yang perlu kita tempuh. Lea takut gagal. Dugaan itu terlalu berat buat Lea.”

“Apa maksud Lea?”

“Nantilah kita bincangkan bersama, Lea rasa sakit kepala, nak rehat sekejap.”

Aku melangkahkan kaki meninggalkanya terpinga-pinga di wakaf kayu yang menyerikan taman mini Mak Su. Biarlah… nanti tentu dia akan faham maksudku. Atau sebenarnya dia faham, tapi tidak mahu memikirkannya.

3 comments:

  1. Bestnyer...
    kesian danial...tersepit antara 2 wanita..
    lea pun kesian jugak,..
    suke citer ni...tahniah penulis buat kite teruja nak tahu citer seterusnya.,..
    teruskan berkarya..

    ReplyDelete
  2. hohoohoh....
    crta mkin mnarik....
    saspen nak thu apa next n3...
    pe pun crta ni best...
    hrp2 hepy ending...

    ReplyDelete
  3. huhu..best2..
    xsabar nk bce part strusnye..
    tp mama danial cmne??
    die leh ke nak terima lea dlm kuarga dorang..
    smbung2..

    ReplyDelete

 
Dear Diary Blogger Template