Tuesday, February 2, 2010

Cinta Terhenti - Bab 20

Jam di dashboard menunjukkan hampir ke pukul 12.00 malam ketika dia memakirkan kereta di hadapan rumah Pak Su. Aku menyuruhnya mendukung anaknya yang sedang lena. Sewaktu menutup pintu kereta, aku teringat akan kereta yang kulihat petang tadi. Rasanya kereta ini adalah kereta yang sama. Dari sinaran lampu jalan, dapat kulihat warna dan bentuk kereta tersebut. Sebuah kereta MPV model Toyota Harrier. Aku amat pasti bahawa kereta yang kulihat petang tadi adalah sama dengan kereta ini, malah dia meletakkannya ditempat yang sama, seolah-olah dia dah biasa dengan keadaan di sini. Aku amat yakin, dialah orang yang kulihat memerhatikan rumah Pak Su petang tadi. Ini bermakna dia telah mengetahui segalanya. Dia tahu di mana rumah Pak Su, dia tahu tentang majlis makan malam ini, dan dia juga tahu tentang waktu ketibaanku. Segalanya bagaikan dirancang dengan teliti. Siapakah dalang di sebalik semua muslihat ini?

Pak Su membukakan pintu untuk kami. Hanya dia berseorangan di ruang tamu. Mak Su dan kedua kembar telah lesap di bilik masing-masing. Sedang bersiap-siap untuk tidur barangkali. Pak Su mengarahkan Danny meletakkan Danish di bilik Alya kerana katanya tidak baik anak tidur bersama kita sekelamin. Danny mengikut Pak Su menaiki anak-anak tangga ke bilik Alya. Aku terus ke bilik untuk mengambil baju tidur Danish. Seketika kemudian aku menghantarnya ke bilik Alya dan kuserahkan kepada Danny, biarlah dia menguruskan anaknya pula. Setelah itu aku turun kembali ke bilik tetamu untuk menukar pakaian dan bersolat isyak.

Lama setelah selesai mengerjakan solat, dia masih tidak muncul di bilik. Hatiku lega, mungkin dia tidur bersama anaknya di bilik atas. Bolehlah aku tidur lena malam ini, tiada siapa yang akan menggangu. Hati yang tidak keruan sedari tadi semakin tenang. Aku bersenang-senang di atas katil sambil menyambung baca novel karya Aisya Sofea bertajuk ‘Adam & Hawa’. Entah kali ke berapa aku khatam buku itu tak kuingat. Ceritanya menarik, mengisahkan sebuah perkhawinan yang terjadi tanpa rela dalam keadaan mengaibkan membuatkan Ain Hawani membenci suaminya Adam Mukhriz, lalu membawa diri ke bumi Australia untuk melanjutkan pelajaran. Namun begitu, sudah ditentukan ILAHI, jodoh Adam tentulah dengan Hawanya. Mereka dipertemukan semula di Tanah Suci Mekah, maka di situlah bermulanya episod dimana Adam tanpa jemu-jemu memujuk dan memenangi semula hati Ain yang telah terluka.

Aku membayangkan diriku seperti Ain Hawani kerana rentetan penderitaannya hampir sama dengan kisah penderitaanku. Cuma bezanya kami berkahwin dengan cara baik mengikut adat istiadat perkahwinan Perak walaupun tanpa restu Opah. Tetapi kemanisan hidup berumahtangga tidak seindah yang diimpikan. Segalanya hanya dusta dan pembohongan belaka. Begitu jugalah dengan Ain Hawani yang hidup selama lapan tahun bertemankan perasaan marah dan bencinya terhadap suami. Tiada bezanya kehidupanku dengan watak Ain Hawani.

Kekadang aku merasakan hidupku seperti cerita-cerita novel yang diilhamkan oleh penulis. Watak-watak cinta yang dinukilankan penuh tragis dan menyedihkan. Tetapi kebiasaannya bagi sesebuah novel yang digarap oleh penulisnya, setiap kesudahan cerita pasti akan diakhiri dengan kegembiraan buat pembaca. Hero dan heroin pasti akan bersatu semula dan hidup berbahagia sehingga ke akhirnya.

Tetapi… penulis juga menulis berdasarkan pemerhatiannya terhadap watak-watak dan cerita sebenar yang berlaku di dunia realiti, cuma pengolahan cerita dan penyusunan ayat-ayat dengan bahasa-bahasa yang puitis dan kreatis yang akan membuatkan penceritaan bagi sesebuah novel itu menarik dan memuaskan hati pembaca. Namun begitu…bagaimana dengan realiti kehidupanku, apakah ada sinar bahagia menanti di hujung sana? Hanya ALLAH yang maha mengetahui.

Sedang aku tenggelam dalam dunia Ain Hawani dan Adam Mukhriz, tiba-tiba pintu dibuka dari luar. Astaghafirullah Hal Azim! Bagai nak tercabut rasanya jantungku. Lelaki ini bisa saja membuatkan nafasku terhenti. Aku pura-pura tak sedar dengan kehadirannya. Dia juga tidak menegurku. Dia terus menuju ke sofa di mana aku menempatkan beg pakaiannya sebentar tadi. Dari kerlingan mata, kulihat dia terbongkok-bongkok mencari sesuatu dari dalam begnya. Aku buat tak kisah saja, tidak sedikit pun ingin bertanyanya apatah lagi memberi bantuan kepadanya sebagaimana lazimnya bagi isteri-isteri lain, yang pasti akan menyiapkan kelengkapan pakaian suaminya. Tetapi bagiku… mintak maaflah!

Tiba-tiba kulihat, dia dengan selambanya membuka pakaian di hadapanku. Ah! sudah!...sudah!... Babak inilah yang paling aku takuti. Bisa saja mengugah perasaanku. Jika tidak dikuatkan hati, pasti aku telah berlari ke dalam pelukannya. Tubuh badannya yang sasa dengan dada bidang dan otot yang tegap pasti akan membuatkan aku selesa dalam pelukannya seperti waktu-waktu dulu. Aku berasa selamat dalam dakapannya. Dia adalah suami yang hebat, yang telah membawaku ke alam asmaraloka yang indah.

Tiba-tiba aku tersedar bila terlihat kelibatnya memasuki pintu bilik air. Astaghafirullah Hal Azim! Masya ALLAH…, aku telah hanyut kedalam khayalan yang menyesatkan! Entah apalah yang akan difikirkannya jika mengetahui apa yang ada dalam fikiranku tadi. Tidak!... aku tidak boleh memikirkan perkara itu lagi. Eleana, kau harus sedar, kau harus ingat dengan apa yang telah dilakukan terhadapmu. Dia lelaki yang telah belot terhadap cintanya. Dia si pendusta cinta. Dia lelaki yang telah mendurhakai kasih sayangmu. Dia telah membawa kamu ke lembah kehancuran. Kau harus ingat itu. Kau harus ingat setiap dendammu. Kau tidak boleh memaafkannya. Setiap titis airmatamu harus dibayar dengan airmata jua. Dia harus menderita sebagaimana engkau menderita. Satu bisikan halus di sudut hatiku mengingatkan aku kepada dendam kesumatku terhadapnya.

Dia tidak mengambil masa yang lama di bilik air. Mungkin hanya mengambil wudhuk dan menukar pakaian kerana dari ekor mataku, dapat kulihat dia kelihatan segar dalam pijama satin berwarna cokelat pekat. Dia berdiri di ambang pintu sambil merenungku. Lama dia berkeadaan begitu. Entah apa yang difikirkannya. Aku mengangkat buku menutupi pandangan mataku. Konon-kononnya aku sedang khusyuk dengan pembacaanku, tapi… entah kemana hilang fokusku ketika menyedari dia merenungku.

Seketika kulihat dia sedang membentang sejadah, namun sekejap-sekejap diangkatnya semula, dia seoalah-olah sedang berfikir. Kemudian dia memadang kearahku semula. Dia seperti ingin berkata-kata, namun tidak terluahkan. Aku pun naik hairan dengan sikapnya. Gayanya seperti ingin bersolat, tapi dia masih mundar mandir dan ragu-ragu. Entah apa yang difikirkannya. Tiba-tiba aku dengar suaranya memanggilku.

“Lea…Lea…” Panggilnya perlahan. Namun aku pura-pura tidak mendengar. Seolah-olah aku sedang tenggelam dalam dunia pembacaanku tanpa meghiraukan dunia luar.

“Lea, please, I nak tanya ni…” Serunya lagi. Tapi aku buat-buat pekakkan telinga.

“Lea, please… tolong tunjukkan arah kiblat…I nak solat ni”.

Alahai! Itu rupanya yang menjadi kerisauannya, yang membuatkan dia seperti cacing kepanasan. Ingatkan apalah masalah yang difikirkannya. Ingatkan masalah negara atau masalah Palastine yang diserang Israel, rupanya masalah arah kiblat. Apalah mamat ni, pandanglah sekeliling pasti dia akan tahu arah kiblat, kerana Pak Su telah meletakkan tanda anak panah di siling bilik. Aku masih mendiamkan diri. Saja buat-buat degil, aku nak tengok apa reaksinya.

Dia mengeluh kasar apabila aku masih berdiam diri tidak melayan pertanyaannya. Dari kerlingan mata, dapat kulihat wajahnya yang kelat menahan geram. Lucu juga melihat reaksinya.Hah! padan muka!…akhirnya dapat juga aku mempermainkannya. Tapi tiba-tiba aku tersedar, aku tidak patut mempermainkannya, aku tidak patut melengah-lengahkan waktu solatnya. Aku berdosa,sudahlah aku mempermainkan lelaki yang merupakan suamiku, malahan aku telah melewat-lewatkan waktu solatnya pula. Ya ALLAH… besarnya dosaku. Aku segera bangun dan mengambil sejadah ditangannya.Aku membentangkan mengikut arah anak panah yang ditunjukkan di siling. Setelah itu aku menunjukkan kepadanya anak panah itu mengikut isyarat mata sahaja. Aku masih tidak bersuara terhadapnya. Ah! keras sungguh hatiku…

Dia segera menunaikan kewajipannya terhadap ILAHI. Aku kembali ke katil dan cuba ingin meneruskan pembacaan. Namun konsentrasiku terganggu. Aku telah hilang fokus. Aku teringat akan nostalgia cinta kami. Pertemuan yang bermula dengan pertelingkahan telah membibitkan benih-benih cinta buat kami berdua. Segalanya bermula dengan peristiwa hitam yang nyaris meragut nyawa dan mahkota kesucianku.

Aku yang berasa terhutang budi telah menjadi semakin rapat dan intim kepadanya sehingga lupa akan prinsipku yang tidak akan bercinta sehingga tamat penggajian. Dalam tempoh tiga bulan sahaja dia berjaya menawan hatiku, berjaya membuka pintu hatiku dan aku hanyut dalam dunia cinta yang indah dan mengasyikkan. Kami akhirnya mengambil keputusan untuk berkahwin, kerana aku takut kami akan terlanjur dan melakukan dosa. Aku begitu yakin dengan cintanya. Tanpa menyiasat latar belakangnya, memadai aku mempercayai setiap apa yang diberitahu kepadaku

3 comments:

  1. best2...
    smbung2..
    xsbar nk tau part strusnye..

    ReplyDelete
  2. bestnyer......=)
    nak lg nak lg hehehe..

    ReplyDelete
  3. hohohoho....
    daniel pkat alya brsungguh2...
    jgn mngaku kalah...
    best2x...
    smbung2x...

    ReplyDelete

 
Dear Diary Blogger Template