Tuesday, January 26, 2010

Cinta Terhenti - Bab 7

Perak, Disember 2001

“Aku tak setuju !!!, tak setuju, tak setuju, kamu tak faham ker? Lantang suara Opah memarahiku. Tempikan dan herdikan Opah yang bagaikan halilintar mengerunkanku. Aku tunduk menikus di satu sudut ruang tamu. Takut untuk mengangkat muka.Aku mengigil ketakutan. Air mata berjuraian titis demi titis membasahi pipi. Sanak saudara yang turut hadir dalam perbincangan itu masing-masing mendiamkan diri. Tidak seorang pun berani bersuara apabila Opah telah menunjukkan taringnya.

Opah sedang menyingga marahnya, takut aku hendak mematahkan bicaranya. Tetapi…. Aku harus menghadapinya jua.

“Kamu ni memang tak sedo dek untung Syuhada.Bersusah payah aku menjaga kamu, didik kamu,bagi kamu pelajaran dunia akhirat… bagi kamu kasih sayang yang melimpah ruah, ini balasan kamu? Kamu lupe pada janji-janji kamu? Kamu lupe pada arwah emak, abah dan kakyong kamu? Mase deme meningge dulu beria-ria kamu berteroyak di kubur deme, kamu akan belajo rajin-rajin, kamu akan capaikan cita-cita kakyong yang tak kesampaian… tapi ini apa kejadahnya? Belum ape-ape lagi kamu udah nak nyakitkan hati aku, tak sampai setahun kamu pegi… udah nak nikahape ke haenya ni?”

Kata-kata Opah amat menghiris hatiku. Ternyata harapan dan impianku agar keluarga memahami hasratku tidak kesampaian. Pak Su, Mak Su, Pak Tam dan Mak Tam serta beberapa saudara yang turut sama dalam perbincangan itu, hanya mendiamkan diri, masing-masing tidak berani bersuara, apabila Opah sudah melenting.

Kehangatan dan ketegangan suasana di ruang tamu rumah dua tingkat itu kian terasa. Opah masih berpegang pada katanya yang satu. Dia masih bertekad tidak merestui permintaanku. Aku ketakutan, tetapi masih berusaha untuk merayu agar opah bersetuju dengan permintaanku.

“Opp…opah…opah… tolonglah faham keadaan Lea…” tergagap-gagap aku bersuara dan cuba mengumpul kekuatan untuk berhadapan dengan Opah. Aku harus menerangkan tentang hasrat hatiku untuk berkahwin. Aku punya alasan yang tersendiri. Aku harus berusaha menerangkannya sehingga Opah faham.

“Er..er…Opah, Lea se..se..sebenarnya…” Aku masih ketakutan dan ragu-ragu untuk berbicara.

“Apa yang tergagap-gagap ni? Selalu tu bukan main lagi pandai bebeno kamu bercakap, ngalahkan loyer lagi… hah… cakaplah… bior seme orang dengo yang kamu tu dah gatae bebeno, udah tak sabo beno nak berlakiape… gamaknya kamu dengan budak jantan tu udah buat keroje jahat gamaknya…, itu le yang kamu beria beno nak nikah, tak nyempat-nyempat habis belajo… entah-entah kamu udah berisi gamakyer…?

Suara Opah semakin kuat mengherdik dan mencercaku. Hilang segala kata-kata lembut mesra yang sering memujukku selama ini. Opah tempatku bermanja bagaikan orang asing buatku. Aku merasa bagaikan dilontar ke gaung yang amat dalam yang penuh dengan ranjau-ranjau berduri. Tuduhan demi tuduhan telah menghancur luluhkan hatiku. Sekeping hati kecilku bagaikan ditusuk duri-duri yang tajam berbisa. Pedih rasanya dituduh dengan tuduhan yang amat berat untuk kutanggung.

Aku teramat kecewa, insan yang selama ini amat menyayangiku telah menuduhku dengan tohmahan-tohmahan yang menyakitkan. Aku terisak-isak menahan sendu. Aku beristighfar, Ya ALLAH Ya TUHANKu, KAU berilah hambaMu ini kekuatan untuk menghadapi dugaan yang hebat ini.

Mak Su yang duduk berhampiran denganku, memelukku erat. Bahuku diusap lembut. Airmata yang mengalir deras di pipiku diseka dengan hujung lengan bajunya.

“Sabar…sabar… Lea kena kuatkan semangat, jangan menangis , bawa bersabar, kita bincang elok-elok , Opah tengah marah sangat tu… nanti bila Opah dah tenang, kita bincang lagi yer”. Pujuk Mak Su. Tetapi aku masih ingin berusaha untuk membela diri.

“Opah…. sampai hati Opah cakap macam tu, Lea masih suci… Lea ingat Tuhan, Lea tahu agama, Lea ingat segala ajaran dan didikan Opah. Lea masih ingat pada arwah emak, abah dan kakyong.Lea tau dosa pahala, iman Lea takkan tersasar sampai sanggup buat perkara-perkara tak bermaruah tu. Lea tak buat maksiat, percayalah…,tolonglah percaya Lea. Kenapa Opah sanggup tuduh cucu Opah? Opah marah sangat kat Lea ker…. Opah dah benci Lea…?”

Aku tidak sanggup untuk meneruskan kata-kata. Aku meraung. Sedih benar rasanya. Airmata mengalir laju menitis-nitis membasahi lengan baju kurungku bagaikan hujan lebat di musim tengkujuh yang mengakibatkan banjir besar di kawasan-kawasan Pantai Timur Malaysia. Aku semakin tak bermaya, badanku lesu dan akhirnya aku terkulai layu di ribaan Mak Su.

Badanku lemah, kepalaku berpinar. Sedihnya bukan kepalang apabila insan yang teramat kusayang tidak mempercayaiku lagi. Menyedari keadaanku yang hampir pengsan, keadaan menjadi kelam kabut seketika. Pak Su dan Pak Tam meluru kearahku untuk membantu apa yang patut. Riuh suara Pak Su meminta air dari orang-orang di dapur. Dia membacakan ayat-ayat Al-Quran dan menghembuskan ke dalam air dan memberiku minum dan selebihnya disapukan ke mukaku. Namun Opah tidak berkutik di tempat duduknya. Tiada riak cemas di hatinya walaupun cucu kesayangannya hampir pengsan akibat dari tohmahan-tohmahannya. Keras benar hati Opah apabila kemarahan menguasai dirinya. Setelah mendapat kekuatan, aku kembali bersuara…

“Lea sedar, Lea takde emak…takde abah, Lea anak yatim piatu. Lea hanya menumpang kasih Opah dan saudara mara. Tapi, kalau Opah pun dah tak sayangkan Lea, kalau Opah pun dah bencikan Lea, pada siapa lagi Lea nak bergantung harapan? Lea… Lea, cuma mintak kebenaran untuk kahwin. Lea nak mintak restu Opah dan sanak saudara. Lea tak buat dosa, tolonglah faham keadaan Lea. Lea keseorangan disana. Susah payah Lea tanggung sendiri. Sekarang ni dah ada orang yang sayangkan Lea, dia nak lindungi Lea, salahkah kalau kami kahwin? Lea sayangkan dia… dia pun sayangkan Lea. Lea janji… walaupun kami kahwin, Lea takkan abaikan pelajaran. Lea takkan lupa janji-janji Lea. Lea akan pastikan Lea tamat pelajaran dengan cemerlang. Lea pasti akan tunaikan impian dan harapan arwah emak, abah dan kakyong. Lea takkan lupa semua tu. Cuma… sekarang ni Lea mintak restu Opah. Lea fikir… dah ada orang yang sayangkan Lea, dia benar-benar nak jadikan Lea isterinya. Dia benar-benar ikhlas. Lea pun sayangkan dia, jadi… apa salahnya kami kahwin. Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan dosa. Lea tau… walau berpegangan tangan, bersentuh lelaki dan perempuan yang bukan muhrim sudah dikira berdosa, inikan pula kalau sering bersama kesana kemari , macam-macam boleh terjadi… daripada berlaku perkara yang tak baik, lebih baik kami kahwin, ada ikatan yang sah.” Panjang lebar aku memberi penerangan.

Dengan renungan tajam, opah membidas kata-kataku,

“Syuhada, pokok pangkalnya hati kamu… nak buat dosa, nak buat pahala, nak buat maksiat, pada hati kamu, kalau kamu pandai jaga diri, ingat pada Tuhan, ingat pada agama, ingat pada didikan kami, takkan jadi apa-apa. Kami antor kamu jauh-jauh sampai ke Australia tu, untuk belajo, bukanya suruh kamu bercinta, cari jantan… bukan kami suruh kamu nikah cepat” suara Opah kian perlahan, marahnya kian mengendur.

“Syuhada… kamu taukan Opah terlalu sayangkan kamu, kamulah satu-satunya cucu yang Opah harapkan, Opah dah tak ada cucu lain, Kakyong kamu dah tak ada… anak-anak Pak Su kecik lagi, pada kamu aje lah Opah nak menumpang kasih dalam usia ni. Selama ni segala kehendak kamu Opah turutkan, tak ada satu pun permintaan kamu yang Opah sia-siakan, tapi…, permintaan kali ni berat sangat, macam-macam yang Opah fikir, takut kamu gagal dalam pelajaran, kamu muda lagi, kalau apa-apa jadi , macam mana? Kalau kamu tak abis belajo macam mana? Nikah kahwin ni bukan perkara main-main, hari ni nikah, esok boleh bercerai-berai… kamu boleh ker jadi isteri dalam masa yang sama belajo, mampu ke kamu? esok-esok… kalau jadi satu-satu hae pada kamu, bercerai berai, jadi janda muda, penyudahnya sedara mara juge kamu cari… itu ler yang opah takutkan. Opah taknak kamu susah,sebab kamu takder emak bapak le yang Opah risaukan ni, masa opah hidup ni boleh le opah jaga kamu… kalau opah dah takder nanti, macam mana? susah jadinya… mentara Opah hidup ni, tak boleh ker kamu dengor cakap Opah… tak boleh ke kamu ikut nasihat Opah ?”

Opah tidak dapat menahan sedihnya mengenangkan masa depan cucu kesayangannya, risau hatinya…

“Tapi…kalau kamu udah beria-ria beno nak nikah, kamu nikah ler… tapi jangan kamu harap dapat restu dari aku. Kamu udah derhaka pada aku. Usah kamu cari aku lagi, pegi le ikut laki yang kamu sayang sangat tu. Aku ni dah tak penting dalam hidup kamu…” sambil mengeluarkan kata-kata rajuknya Opah bingkas bangun beredar dari situ meninggalkan aku meraung kesedihan.

2 comments:

  1. degil gak yer opah lea tuh! sian lea....

    ReplyDelete
  2. mmg sian kat lea... dah perkhawinan tak direstui, suami plak tinggalkan dia...huhuhu

    ReplyDelete

 
Dear Diary Blogger Template