Thursday, January 28, 2010

Cinta Terhenti - Bab 12

Aku melangkah tenang ke pintu keluar balai ketibaan antarabangsa. Tangan kanan memimpin Danish manakala tangan kiri menolak troli yang dipenuhi dengan bagasi. Bayang Rayyan Zakwan telah lesap dari pandangan. Begitu cepat dia menghilangkan dirinya. Mungkin dia kecewa di atas ketegasanku.

Mataku melilau mencari wajah-wajah Pak Su dan Mak Su yang telah berjanji untuk menungguku. Di celah-celahan manusia yang berpusu-pusu menunggu di balai ketibaan, tentulah sukar untuk mengecam mereka. Pak Su telah berjanji untuk menantiku di KLIA, walaupun aku bersungguh-sungguh menahannya dari berbuat demikian. Aku tidak mahu menyusahkan dirinya kerana jadual ketibaanku pada waktu orang masih enak diulit mimpi indah. Tetapi… biasalah Pak Su, dia takkan membenarkan aku bersendirian. Lantaran pula kami telah terlalu lama tidak bertemu. Tentu sahaja dia ternanti-nantikan kepulanganku.

Dalam pada itu, debaran di dadaku semakin kencang. Hatiku berdebar-debar. Degup jantungku bergerak pantas. Aku risau untuk menghadapi sebarang pertanyaan dari Pak Su dan Mak Su mengenai Danial Haqim. Pasti mereka akan bertanya sebaik mendapati dia tidak pulang bersamaku. Situasi sebeginilah yang membuatkan aku menahan diri dari pulang ke Malaysia. Aku lebih tega menyepikan diri di negara orang daripada menghadapi soalan-soalan yang akan melukakan hatiku.

Ya! ALLAH, KAU tolonglah hambaMu menghadapi dugaan ini. Sesungguhnya aku pasrah dengan ketentuanMu Ya ALLAH. KAU berikanlah kukekuatan untuk berhadapan dengan orang-orang yang tersayang. Mereka pasti akan terluka jika mengetahui status diriku. Opah pasti akan kecewa jika mengetahui penderitaan yang kutanggung ini. Tentu selama ini dia menyangka cucu kesayangannya sedang berbahagia dengan rumahtangga yang dibina walau tanpa restu darinya. Opah, walaupun berkeras membantah perkahwinanku, tetapi… aku tahu, dia pasti mahukan yang terbaik buat diriku. Dia pasti mendoakan kebahagian rumahtangga kami. Tapi sayang, segala harapan hanya tinggal impian kosong yang tidak akan menjadi realiti.

Di celah-celah manusia yang sedang menanti ketibaan sanak saudara dan orang tersayang, aku melihat lambaian tangan Pak Su. Senyuman manis dari keduanya meluruhkan kerinduanku.Bergegas aku mengheret si kecil menuju kearah Pak Su dan Mak Su. Aku lantas bersalam dan mencium tangan Pak Su. Pak Su memelukku erat. Airmata yang kutahan sedari tadi mengalir jua. Pak Su mencium ubun-ubunku. Lerai segala rinduku buatnya.

Aku telah meninggalkan mereka untuk tempoh yang amat lama. Lapan tahun aku menyepikan diri di bumi Australia akibat dari cinta yang terputus di tengah jalan. Cinta indah yang kusemai bersamanya hanya bertahan selama setahun. Dalam kehangatan cinta yang membara membakar jiwa, ditengah-tengah kemuncak kebahagiaan kami dengan berita janin yang sedang membenih di rahimku, tiba-tiba segalanya direntap, diragut dengan rakus sekali. Segala kemanisan cinta impianku dibawa pergi. Setelah aku membukakan seluas-luasnya pintu hatiku buatnya, dia meninggalkanku sendirian tanpa sebarang berita. Betapa kejamnya mereka.

Pak Su meleraikan pelukan. Aku bersalam dan memeluk Mak Su. Kami bertangisan bersama. Macam drama swasta pulak rasanya. Berpeluk sambil menangis di tengah-tengah laluan manusia di ruang menunggu itu. Pak Su menepuk-nepuk bahuku. Memujuk agar aku berhenti menangis. Dalam kekalutan itu, aku terlupa untuk mengenalkan putera kesayanganku kepada kedua-duanya. Mohd. Danish Aakif hanya memandang perlakuan kami. Dia termangu kehairanan, memikirkan ibunya yang berpelukan dan bertangisan dengan kedua-dua orang tua itu. Tangannya memeluk kaki kiriku. Kesian anakku, dia tidak pernah mengenali keluarganya. Dia hanya mengenali mereka melalui ceritaku dan gambar yang sering aku tunjukkan kepadanya. Aku lantas mencepung tubuh kecilnya ke dalam dukungan.

“Sayang, inilah Tok Su dan Opah Su yang selalu mummy cerita tu. Salam dengan Tok Su dan Opah Su, sayang”. Danish segera menghulur tangan. Pak Su memeluk dan mencium dahinya diikuti oleh Mak Su. Sebak hatiku melihat perlakuan putera tunggalku.

“Eee… Danish tak malu ya, dah besar pun nak dukung kat mummy lagi…?” Usik Pak Su.

Danish termalu-malu lantas memeluk leherku erat. Aku menghadiahkan ciuman di dahinya. Perlahan-lahan Danish melurut turun dari dukunganku. Dia malu dengan teguran Pak Su tadi. Walaupun berumur enam tahun, tetapi tubuh Danish kecil. Dia anak yang manja, sering minta didukung setiap kali aku pulang dari kerja. Sebaik melihatku di pintu nursery, dia akan berlari kearahku dan minta didukung. Itulah perangai si kecilku, keletah dan manja. Tidak dapat dibayangkan jika aku kehilangannya.

Namun, adakalanya aku lihat dia termenung terutama selepas melihat foto-foto perkahwinanku. Album perkahwinanku adalah harta yang amat berharga buatnya. Jika sehari tidak melihat foto itu, payahlah aku melayan kerenahnya. Ada sahaja yang tak kena, makan tak mau, main tak mau dan bila diajak bergurau dia menolak. Dia akan mengurungkan dirinya di dalam bilik.

Aku yakin, sifat anehnya berpunca dari kekurangan kasih sayang seorang ayah. Dia berasa dirinya pelik, tidak seperti kawan-kawan yang punya ibu dan ayah. Semenjak aku menghantarnya ke kinder garden, dia sering bertanya mengapa dia tiada ayah, sedangkan kawan-kawannya sering di hantar oleh ayah dan ibu mereka. Aku sering kehilangan kata-kata untuk menjawab pertanyaannya.

Dia terlalu gembira ketika aku memberitahunya kami akan pulang ke Malaysia. Setelah Pak Su menelefon mengatakan Opah sakit dan amat merinduiku, hatiku bagai terpanggil-panggil untuk pulang. Danish sangat gembira, kerana katanya dia akan berjumpa dengan daddynya di Malaysia. Kesian anakku, dia tidak memahami kesengsaraan yang ditanggung oleh mummynya. Pertemuan semula dengan ayahnya pasti akan mengores luka lama yang kian sembuh. Namun… demi kegembiraan anakku, aku harus cekal dan tabah. Aku harus kuat menghadapi saat-saat pertemuan dengannya setelah sekian lama dia pergi meninggalkanku.

“Lea, kenapa termenung? Sapaan Pak Su melenyapkan ingatanku terhadapnya.

“Err…tak ada apa-apa Pak Su. Aku berdalih.

“Lea…,kenapa Haqim tak balik sama? Bila pulak dia nak balik?” Tanya Mak Su.

Tepat seperti jangkaanku. Soalan keramat itu bagaikan ledakan bom menghinggap cuping telingaku merosakkan segala deria pendengaranku. Aku telah menjangkakan soalan itu pasti akan keluar dari mulut mereka. Tentulah mereka berasa hairan melihat aku pulang tanpanya, kerana mereka tidak pernah tahu keadaan diriku dalam tempoh lapan tahun ini. Aku tidak akan tega untuk mengadu masalah rumahtanggaku, kerana segala-gala yang berlaku berpunca dari kebodohan diriku sendiri yang terlalu taksub dengan cinta. Aku telah terperangkap dalam gelora cinta palsu Danial Haqim. Ya ALLAH, apakah jawapan yang patutku berikan?

“Lea…, hey, dia ni asyik termenung jer, takkanlah dah rindukan Haqim, tak sampai sehari berpisah, dah rindu-rinduan?” usik Pak Su apabila melihat aku masih terdiam tidak menjawap pertanyaan Mak Su. Usikan manja Pak Su menjerut leherku. “Err…err…Haqim pergi outstation, ada meeting dengan client di Sydney. Dia suruh Lea balik dulu. Bila dah habis meeting dia akan menyusul.”Aku mencipta alasan. Ya ALLAH, maafkan hambaMu ini. Aku terpaksa berbohong. Apakah sepanjang tempoh kepulanganku ini, aku harus mencipta alasan demi alasan. Ya ALLAH, aku berdosa padaMu. KAU ampunilah hambaMu ini.

“Lea ni apa hal, bercakap tergagap-gagap,macam takut-takut jer, ada yang tak kena ker? Soal Pak Su.

“Pak Su rasa, macam Lea ada sembunyikan sesuatu dari kami. Kenapa? Lea bergaduh dengan Haqim ker? Pak Su menyerangku dengan soalan demi soalan. Situasi sebeginilah yang ingin aku hindari. Pak Su bagaikan mengesyaki sesuatu.

“Tak ada apa-apa Pak Su, Lea dengan Haqim okey jer. Err… Pak Su, camna keadaan Opah? Opah masih kat hospital lagi ker? Aku cuba membawa Pak Su ke topik lain.

“Tengok tu, pandai dia tukar tajuk, kita cakap tentang dia, dia bukak cerita lain pulak. Opah dah beransur sihat, dah keluar hospital pun, usahlah Lea risau” Pak Su memarahiku. Aduh! Masalah… masalah!

“Betul, Pak Su, kami sekeluarga okey jer. Kami bahagia, tak usahlah Pak Su dan Mak Su risau. Err… Pak Su Lea nak solat subuh dulu, dah nak habis waktu ni. Tadi lama sangat kat bahagian bagasi. Lambat sangat diorang keluarkan beg.” Aku berdalih untuk mengelak mereka bertanya lebih lanjut tentang masalah rumahtanggaku. Jika tidak berhati-hati pasti rahsia akan terbongkar. Aku sama sekali tidak akan memberitahu mereka keadaan diriku. Aku tidak akan menyusahkan mereka. Mereka telah banyak berkorban untukku.Biarlah segala penderitaan kutanggung sendiri.

“Okey…, Lea pergi dulu, kami dah solat tadi sementara tunggu Lea. Kami tunggu Lea kat kafe depan tu ya.” Kata Pak Su sambil menunjukkan arah tempat mereka akan menungguku.

“Sayang, mummy nak pergi solat, sayang ikut Tok Su ya”. Pujukku kepada Danish apabila dia masih tidak mahu melepaskan kakiku.

*****

Aku menuju ke surau muslimah mengikut arah yang Pak Su tunjukkan. Tiba-tiba aku merasakan bagai ada sepasang mata yang sedang memerhatikan gerak langkahku dari satu sudut. Hatiku bergetar deras. Degup jantungku semakin kencang. Dari imbasan wajahnya, aku bagaikan kenal orang itu. Lantas aku menoleh ke arahnya. Ya ALLAH Ya TUHANKU, berderau darahku apabila terpandangkan wajahnya. Merah pijar mukaku menahan debaran. Darah panas menyerbu ke muka. Serta merta marahku memuncak. Mengapa dia harus muncul diketika aku masih belum benar-benar bersedia untuk berhadapan dengannya.

Dia memandangku dengan senyumannya yang bisa membuatku penasaran. Auranya terserlah, senyuman dari bibir merahnya, renungan matanya bersinar, raut wajah yang menyerlahkan ketampanannya tentu saja akan membuatku tertarik kepadanya. Aku kaget. Terpana melihatkan kemunculan dirinya secara tiba-tiba. Getaran di dada membuai jiwa melorek sayang. Perasaan itu datang lagi. Perasaan yang pernah ku alami lama dulu, dan aku masih merasainya kini. Ya ALLAH… sesungguhnya aku masih mencintainya.

Aku masih mencintainya. Perasaan itu tetap unggul di taman hatiku. Masih mekar berkembang dan tidak akan terpadam walau sebanyak mana kesakitan yang dihadiahkan buatku. Tidakkan layu walau sebanyak mana racun dicurahkan. Mana bisa kulenyapkan rasa itu, sekali aku cinta… aku akan tetap mencintaimu. Walau setelah sekian lama, dan sekian banyak kesengsaraan yang dihadiahkan buatku, namun perasaan itu masih segar di lubuk dihatiku. Aku tidak boleh melupakanmu. Aku terlanjur cinta padamu dan seluruh hidupku telahku serahkan buatmu. Kau adalah cinta pertamaku. Kau adalah memori indah yang penuh luka. Argh! Danial…

Dia melangkah tenang kearahku. Senyuman tetap menguntum dibibirnya. Ah! tampannya, dia membuatku tidak keruan. Jarak antara kami tidak sampai sepuluh meter. Ya ALLAH… apa yang harusku lakukan. Dia mahu mendekatiku. Dia mahu mendapatkanku. Apakah aku telah bersedia untuk berhadapan dengannya? Apakah aku bersedia memaafkannya dan menerimanya kembali?

Ya ALLAH, belum sampai satu jam kepulanganku, dia telah menonjolkan dirinya. Mengapa pertemuan harus terjadi seawal ini? Aku belum bersedia. Aku keletihan. Aku lemah. Aku bisa saja menyerah kepadanya. Jauh disudut hati, aku teramat ingin memeluknya. Aku terlalu merinduinya. Aku ingin berada dalam dakapannya seperti saat-saat bahagia dulu. Tetapi…, tidak… tidak…tidak… dia tak boleh semudah itu mendekati diriku. Aku harus pergi. Aku harus lari darinya. Dia tidak boleh sewenang-wenangnya hadir dalam kehidupanku setelah segala yang dilakukan terhadapku. Aku tidak akan memaafkannya.Hutangnya terlalu banyak, tidak akan terlangsai hanya dengan senyuman manis dan kata-kata maaf darinya. Tidak…, sama sekali aku tidak akan membenarkannya berlaku.Aku benci… aku benci dia…benci…benci…Dengan pantas aku melarikan diri sebelum dia sampai ke arahku.

3 comments:

  1. iyer best...
    nak lg ...
    tahniah utk penulis,..karya yg menarik :-)

    ReplyDelete
  2. tima kasih pada komen rakan2 semua. teruja saya membaca komen anda. tq banyak2...

    ReplyDelete

 
Dear Diary Blogger Template