Sunday, February 7, 2010

Cinta Terhenti - Bab 25

Pagi sabtu yang cerah, ketika kami sibuk bersiap-siap untuk bertolak ke kampong, lagi sekali Pak Su memberikan kejutan. Tiba-tiba sahaja dia menyerahkan buku akaun simpanan ASB yang aku tinggalkan dahulu dengan sejumlah wang yang begitu banyak di dalamnya. Tak cukup dengan itu, dia juga menyerahkan segugus kunci kereta berserta gerannya sekali yang juga tertera namaku di dalamnya. Terkejut besar aku dibuatnya.

“Pak Su, apa ni… Lea tak faham, kenapa Pak Su bagi semua ni kat Lea… Lea ada cukup dah, Lea tak perlu semua ni, selama ni Pak Su dah bagi banyak kat Lea”. Aku kehairanan dengan segala kejutan Pak Su.

“Tapi… semua ni memang hak Lea. Lea berhak untuk dapat semua ni. Pak Su tak nak termakan harta anak yatim, sebab tu Pak Su serahkan semua ni pada Lea, Lea berhak, ambillah… semua ni untuk Lea”

“Tapi… banyak sangat Pak Su, sebenarnya duit apa ni? Bukan ker Pak Su dah masukkan setiap bulan ke dalam akaun Lea, kenapa nak bagi lagi…Lea tak faham?”

“Sebenarnya setiap bulan yang Pak Su masukkan tu, adalah gaji Lea sebagai Ahli Lembaga Pengarah. Tapi yang Pak Su simpankan dalam akaun ni adalah keuntungan syarikat setiap tahun. Pak Su keluarkan sikit untuk belikan Lea kereta ni. Pak Su harap Lea suka CRV ni. Tapi sorilah… sebab Pak Su dah rasmi dulu. Kereta ni baru sampai... Memang Pak Su beli khas untuk Lea. Mungkin Lea boleh guna setiap kali balik ke sini.” Panjang lebar penerangan Pak Su.

Maknanya Honda CRV hitam yang diparkir di hadapan rumah itu adalah keretaku?. Patutlah kelihatan masih terlalu baru sehinggakan plastik pun belum dibuang lagi. Agaknya Pak Su inginkan aku merasminya. Ah! Pak Su terlalu baik terhadapku.

Aku bersyukur kerana Pak Su seorang yang jujur dan amanah. Jika tidak tentu syarikat perniagaan yang ditubuhkan bersama arwah abah akan gagal setelah peninggalannya.

Rupanya dalam diam, arwah abah telah merancang bersama Pak Su untuk membuka perniagaan hartanah dan pembinaan semasa hayatnya. Mungkin untuk bekalan persaraannya di kemudian hari, atau mungkin juga abah telah merancang untuk melepaskan jawatannya sebagai Pengurus Bank bagi menceburkan diri ke dalam perniagaan bersama Pak Su. Dia telah melaburkan sejumlah wang demi untuk merealisasikan impiannya. Namun… semuanya tidak tercapai apabila kemalangan itu berlaku. Jadi terpaksalah Pak Su meneruskan hasrat arwah dengan meletakkan namaku sebagai pewaris.

“Tapi Pak Su… jumlah ni banyak sangat, Pak Su laburkan semula, buat modal pusingan, Lea tak perlu duit sebanyak ni. Lea dah ada cukup untuk perbelanjaan kami. Gaji Lea kat sana pun dah cukup untuk kami. Pak Su ambik lah semula ya… gunakan untuk keperluan syarikat.” Pintaku pula.

“Lea… ini memang duit Lea, tak perlu untuk modal pusingan. Semua tu memang Pak Su dah ketepikan. Ini adalah keuntungan kita. Dah lima tahun Paksu kumpul, sebab tu Lea nampak banyak. Pak Su tahu, Lea ada banyak duit, syarikat Lea di sana pun dah berkembang maju, tapi… Pak Su tak nak simpan lagi, ini memang hak Lea. Biarlah Lea putuskan sendiri nak buat apa dengan duit ni. Terpulanglah samada Lea nak sedekahkan ke, nak zakatkan ke… ikut suka hati Lealah, tapi setiap tahun Pak Su dah keluarkan untuk zakat simpanan, tak payahlah Lea risau..”

“Betul tu Lea…duit tu memang duit Lea. Terima ajelah. Dah lama Pak Su pegang amanah tu. Dia dah tak larat nak tanggung beban amanah anak yatim… sekarang Lea dah balik, Lea ambiklah ya, gunalah untuk buat apa pun… kalau Lea taknak ambik, kesian Pak Su nak kena pikul beban ni lagi…” Mak Su memujukku.

Betul juga kata-kata Mak Su. Kesian Pak Su selama ni bersusah payah menjaga dan mengurus amanah yang ditinggalkan arwah abah. Sepatutnya aku sebagai pewaris yang lebih bertanggungjawab untuk memikul amanah ini. Kesian Pak Su. Aku tiada pilihan, selain terpaksa menerima pemberian yang sememangnya kepunyaanku. Jika aku terus-terusan menolak tentu akan menambah beban Pak Su. Nantilah aku fikirkan apa yang boleh dilakukan dengan duit itu. Mungkin aku akan buat sesuatu untuk arwah keluargaku.

Sedang kami berbincang di ruang tamu, tiba-tiba telefon bimbit Danial berbunyi menandakan terdapat panggilan masuk. Tergesa-gesa dia meminta diri untuk keluar bagi menyambut panggilan tersebut. Hatiku berkata-kata… mungkin panggilan dari isterinya atau mamanya. Jika tidak takkan dia hendak berahsia hingga menyambut panggilan itu di luar. Hatiku berdebar-debar. Pedih rasanya di ulu hati. Apakah aku cemburu? Perbincangan kami tergendala sebentar bagi memberi ruang untuk dia menjawab panggilannya.

“Seperkara lagi… Haqim, Lea… kalau boleh Pak Su dan Mak Su nak Lea baliklah menetap di sini, sudah-sudahlah merajuknya. Opah dah maafkan kamu berdua. Dia dah terima pernikahan kamu, kalau tak, takkan beria-ia dia suruh Pak Su panggil Lea balik. Jadi… Pak Su rasa, dah sampai masanya Lea balik sini, kita usahakan perniagaan ni sama-sama. Pak Su pun dah semakin tua, dah tak larat nak buat kerja ni sorang-sorang. Lea dan Haqim muda lagi, biarlah orang muda teruskan pulak. Tentu orang muda macam kamu ni ada banyak idea untuk majukan syarikat kita” Pak Su menyambung semula sebaik Danial masuk dan duduk di sebelahku.Hatiku tertanya-tanya apakah perkara yang dibualkannya dengan si pemanggil tadi. Apakah isterinya meminta dia pulang? Atau ada perkara penting yang telah berlaku.

“Eleh… ya sangatlah dah tua Pak Su tu, baru 47 tahun tengah prime age lah Pak Su” Aku mencebikkan muka bereaksi pada kenyataan Pak Su yang mengatakan dirinya sudah semakin tua.

“Kalau bukak ‘cawangan baru’ gerenti bertambah ‘saham’ punya, sepasang kembar lelaki pulak”. Aku mengiat lagi sambil menjeling kepada Mak Su untuk melihat reaksinya.

“Haah Lea… Pak Su memang tunggu peluang nak bukak ‘cawangan’ baru, Mak Su bagi ‘green lightsureon’ punya”. Jawab Mak Su bersahaja, menambah hangat suasana usik mengusik antara kami.

Tersentuh hatiku bila perkara ‘cawangan baru’ diperkatakan. Aku memperolok-olok Mak Su, sedangkan kenyataan telah terbentang di depan mata, suamiku telah pun membuka ‘cawangan baru’ bagi menggantikan diriku yang tidak diterima oleh keluarganya.Kenyataan yang tidak dapat disangkal lagi… aku telah pun dimadukan. Hem…padan muka! awak yang gatal mulut bukak isu ni… awak sendiri yang terasa. Sungut hatiku.

“Hemm… Lea, sampai berjanggut putih pun Pak Su takkan dapat ‘green light’ Mak Su tu… baiklah lupakan aje”. Jawab Pak Su sambil ketawa dan disambut ketawa besar dari semua yang ada di ruang tamu, sedangkan hatiku masih diulit pilu bahana keceluparan mulut sendiri.

Pak Su bersungguh-sungguh berharap agar aku pulang menetap di Malaysia dan mengambil alih perniagaan kami. Tetapi… entahlah, aku harus memikirkan perkara ini dengan lebih mendalam. Bukan tiada niatku untuk kembali menetap di tanahair. Tentu aku ingin sentiasa berada di samping keluarga yang begitu prihatin terhadap diriku. Tambahan pula Opah tidak marah padaku lagi. Tentu saja aku ingin sentiasa dekat dengannya. Tetapi… bila memikirkan masalah rumahtangga kami, hatiku menjadi tawar. Aku takut jika suatu hari nanti akan terserempak dengan mama Danial, atau isterinya… bagaimana aku hendak menghadapi situasi itu. Aku tidak sanggup melihat suamiku bergandingan dengan perempuan lain. Jadi… jalan yang terbaik biarlah aku dengan duniaku di sana, kalau dia ingin berjumpa denganku, dia boleh terbang ke sana.

“Betul kata Pak Su tu Lea… abang pun rasa dah sampai masanya kita balik ke sini. Dah lama sangat kita menetap di negara orang” sampuk suamiku pula masih berpura-pura seolah-olah kami sekeluarga sedang menetap di sana, sedangkan hakikatnya...

“Nantilah Lea fikirkan perkara ni ya Pak Su, Mak Su… Lea pun teringin sangat nak balik. Lea nak dekat dengan Opah. Rinduuu… sangat kat Opah. Dah banyak masa terbuang, sepatutnya perkara ni tak berlaku dalam keluarga kita,tapi sebab kedegilan Lea…”

“Dahlah tu…” Pak Su memintas cakapku yang cuba ingin membuka cerita lama.

“Lea… lupakanlah perkara yang dah lepas tu, yang penting sekarang ni adalah masa depan keluarga kita. Takkan sudahnya kalau kita asyik merenung kisah silam.”Tegas Pak Su.

“Yalah Pak Su… nanti kami bincangkan perkara ni, insyaallah kami akan balik menetap di sini tak lama lagi. Pak Su jangan risau, Haqim akan cuba pujuk Lea” Suamiku memberi jaminan. Ah! Senangnya dia bercakap. Agaknya dalam fikirannya segala masalah boleh diselesaikan dengan hanya berbincang sahaja. Argh! Entahlah…

“Eloklah tu… senang hati Pak Su mendengarnya”

“Bang… Lea rasa eloklah kita bertolak sekarang, dah dekat pukul 10.00, nanti panas pulak… lagipun mesti Opah tertunggu-tunggu”

*****

Kami bertolak sebaik selesai bersalam dan mengucapkan selamat tinggal kepada Pak Su sekeluarga. Aku bersungguh-sungguh memujuk Pak Su pulang bersama-sama, tapi menurut Pak Su dia terpaksa menghantar si kembar pulang ke asrama pada esok hari kerana lusa musim persekolahan tahun ini akan bermula.

Aku mengayakan kebaya labuh dari kain sutera china yang bersulam kerawang pucuk rebung berlatar tanah hijau pucuk pisang dan berbunga kuning hadiah dari Mak Su sempena hari lahirku semalam. Dipadankan pula dengan tudung warna sedondon dengan gaya lilitan tudung ‘ekin’ hadiah dari Mak Su juga. Mak Su begitu bijak memilih warna dan saiz yang sesuai dengan kulit dan bentuk badanku.Riuh Mak Su dan si kembar memuji-muji penampilanku. Danial juga berkali-kali memujiku. Dia begitu berbangga menjadi suamiku katanya. Entahlah…entah ya entahkan tidak…entahkan hanya untuk menyedapkan hatiku saja, hanya untuk bermanis mulut saja.

Tetapi sebenarnya aku berniat untuk menarik pandangan positif Opah dengan gaya penampilanku. Aku ingin Opah memikirkan cucunya tidak lupa kepada adab sopan ketimuran walaupun telah sekian lama tinggal di negara orang. Biar Opah fikir cucunya… Eleana Syuhada adalah orang yang sama, yang tidak berubah sedikit pun walau telah sekian lama berpisah.

4 comments:

  1. hohohohho.....
    baiknya pak su lea...
    amanah mnyimpan amanat...
    kuarga haqim memandang rndh kat lia sbb dia miskin...
    buktikan lea bhawa awk pun kaya n hrta x mnjamin kbhgiaan...
    best2x...

    ReplyDelete
  2. bgus la pksue lea.
    kuarga haqim still pndg rndah kt kuarga lea lg ker?
    xsabar nk tau kisah slanjutnye..
    btul ke haqim kawin lain?

    ReplyDelete
  3. cian... anda semua, tertunggu kisah selanjutnya... hehehe... inilah thrillnya novel ni... walau apa pun tungguuuuuu!!!!!

    ReplyDelete
  4. lame lagi ke nk smbg penulis?
    da 2 bulan dah...

    ReplyDelete

 
Dear Diary Blogger Template