Tuesday, February 2, 2010

Cinta Terhenti - Bab 19

Kami ditempatkan di sebuah meja bulat dengan lapan kerusi yang berbalut kain putih dihias dengan reben berwarna merah hati dibelakangnya. Meja dialas dengan alas beropol yang cantik buatannya. Kedudukan meja disudut belakang membuatkan kami sedikit berjarak dengan pengunjung lain. Seorang waiter dan waitres yang ditugaskan melayan kami, sibuk menuang air ke dalam gelas yang telah diatur di hadapan kami.

Agak leka aku memandang hiasan dan susunatur di restoran itu. Telah menjadi kebiasaanku meneliti hiasan dalaman yang kurasakan cantik dan menarik agar dapat dipraktikkan di rumah. Pak Su dan Mak Su sibuk menbelek menu dan memilih hidangan yang sesuai, kami menyerahkan segalanya mengikut citarasa kedua suami isteri itu. Aida dan Alya sibuk melayan kerenah Danish. Tiba-tiba mataku terpandang ke arah sesusuk tubuh yang sedang melangkah tenang kearah meja kami. Seseorang yang amat ku kenali. Aku bagaikan terpaku melihatnya. Terpana! Melongo aku memandangnya berjalan kearahku dengan senyuman yang amat ceria. Hatiku berdegup kencang. Berdebar-debar melihatkan renungannya kepadaku. Apakah aku sedang bermimpi atau cuma sekadar khayalan?

Tiba-tiba kulihat Pak Su bangun dan menuju kearahnya. Mereka bersalam dan berpelukan. Aku terkesima. Hah! Realiti! Benarkah ini adalah realiti? Kenyataan yang harus kuhadapi? Aku mengetap bibir menahan geram. Bagaimana dia boleh berada di sini? Tak mungkin angkara Jannah dan Badrul kerana mereka tidak tahu menahu tentang majlis ini. Adakah Pak Su? Tetapi…Paksu tak tahu yang dia sebenarnya berada disini, apa yang Pak Su tahu, dia berada di Sydney sebagaimana cerita yang ‘kukarutkan’ pagi tadi. Tak mungkin Pak Su! Ya ALLAH lakonan apakah ini? Siapakah yang berkomplot dalam konspirasi ini?

“Lea… tengok siapa datang ni” Pak Su dengan riang mengiringinya ke arah tempat dudukku. Dia tersenyum simpul sambil mengenyitkan mata kepadaku. Terpempan aku dibuatnya

“Hi! Surprise!!…Happy Birthday sayang.” Dia menghulurkan sejambak bunga mawar merah dan memberi kucupan di dahiku. Merah pijar mukaku menahan malu dan marah sekaligus. Cukup pandai dia mengambil kesempatan dihadapan Pak Su sekeluarga. Kononnya dialah suami yang romantis. Cis! Bedebah lelaki ini! Hidupnya penuh kepura-puraan. Lakonannya… class, bergaya, boleh menang award jika dipertandingkan.

Aku termangu-mangu dan keliru dengan keadaan yang tiba-tiba berubah. Majlis makan malam sempena kepulanganku telah bertukar kepada majlis hari lahirku yang sepatutnya diraikan esok. Tapi, kata Pak Su dia sengaja ingin meraikan lebih awal kerana telah lama tidak dapat bersama-sama meraikan hari lahirku.

“Lea… sebenarnya semua ni idea Haqim. Semalam dia telepon Pak Su, bagitau tentang hari lahir Lea, dia mintak tolong carikan restoran untuk kita makan malam bersama. Katanya nak bagi surprise kat Lea…” Pak Su menerangkan duduk perkara sebenar. Sah! Memang sah inilah taktiknya. Dia sengaja mengambil peluang ini untuk mendekatiku. Tentu aku tidak dapat lari. Jika aku menolak, rahsia kami akan terbongkar. Jadi, mahu atau tidak aku terpaksa ‘bertango’ bersamanya. Jika dia ‘bersalsa’, maka ‘bersalsalah’ aku mengikut rentak tarinya. Danny! Danny! Kau sememangnya pelakon dan pendusta yang terhebat di abad ini.

“Hem! Barulah senang hati Pak Su tengok muka Lea berseri-seri sekarang ni. Kalau tidak…, asyik termenung jer, sekarang… besar ketawanya, cik abang dah ada depan mata. Patutlah berdandan sakan, rupanya nak pikat cik abang dia, yer Ma”. Pak Su mengusikku sambil mengenyitkan mata kepada Mak Su. Darah panas menyerbu kemuka, merah padam mukaku. Dari lirikan mata, kulihat Danny tersenyum riang mendengar usikan Pak Su.

“Kenapa Lea asyik termenung? Rindukan abang ker?” Dia menoleh kearahku sambil tersenyum. Argh! Lelaki ini… lakonannya hebat sekali! Aku hanya mendiamkan diri, tidak mahu melayan usikannya. Aku sengaja berpura-pura sibuk berbual dengan kedua sepupuku. Melihat reaksi dinginku, dia terus melayan dan bergurau dengan anaknya. Danish teramat gembira bergurau dengan ayahnya. Mukanya sentiasa ceria dan tersenyum lebar. Tadi… sewaktu ayahnya sampai, dia terus melompat minta didukung. Gembira sungguh hingga tidak ‘lekang’ dari ribaan ayahnya. Sesekali Pak Su bertanya keadaan kehidupan kami di sana. Dia menjawab selamba, bercerita seolah-olah rumahtangga kami amat bahagia dan gembira. Terlalu banyak yang dikelentongnya hingga naik jelak aku mendengarnya. Tapi…apa yang paling menjengkilkan apabila dia memujiku.

One thing about Lea ni Pak Su, dia ni manja sangat, kekadang lebih manja dari Danish. Sensitif, kuat merajuk, kuat cemburu, tapi…penuh dengan kasih sayang…romantik, bertanggungjawab, setia…. And the best part is,she’s so sweet, tak jemu mata memandang, walaupun dia cuba nak tegas, tapi… susah sebab raut muka tu sentiasa lembut, manis”. Amboi! Amboi! Sesedap rasa jer dia mengata aku!

“Hem… Haqim baru lapan tahun hidup dengan dia, Pak Su lebih dari kenal siapa cik Lea kita ni. Dari kecik, memang kuat merajuk, degil, keras hati, sebijik macam perangai Opah, tapi tang… manja tu, memang kalah orang lain, dari kecik Opah manjakan dia sampai dah kahwin… dah beranak pinak pun masih nak manja-manja lagi ya?”. Ewah! Ewah! Pak Su pulak menyampuk…, ingatkan dah tutup cerita, ni tak boleh jadi, aku kena buat sesuatu…

“Ehem…ehem… Pak Su, bila nak makan ni, semua dah lapar, takkan kenyang dengan bercerita jer?” Aku cuba membawa tumpuan mereka ke topik lain.

“Ha! Tu malu la tu… orang asik bercakap tentang dia, pandai jer dia corner cerita lain”. Ujar Pak Su sambil tangannya melambai pelayan untuk bertanyakan pesanan kami. Kami dihidangkan dengan makanan seafood yang dipesan oleh Pak Su dan Mak Su. Sebelum masing-masing memulakan suapan, Pak Su memberi ucapan ringkas yang antara lain isi kandungannya adalah rasa bersyukur dan gembiranya diatas kepulanganku setelah sekian lama di perantauan. Pak Su juga mendoakan kebahagiaan dan kegembiraan buat diriku sekeluarga dan semuga rumahtangga kami berkekalan sehingga ke akhirnya. Ya ALLAH… jika Pak Su tahu kedudukan sebenarnya, apakah perasaannya nanti.

Sepanjang berada di majlis itu, perasaan marahku meluap-luap melihatkan aksi lakonannya, namun kupujuk hati agar bersabar. Jika diturut rasa hati, mahu saja aku pergi meninggalkan majlis itu. Tapi… fikiranku masih waras. Jika aku bertindak demikian, segalanya akan terbongkar. Mahu tak mahu, terpaksalah aku ikut rentak tarinya. Dia sengaja menunjukkan sikap penuh prihatinnya terhadapku. Dia menyendukkan lauk ke pingganku, menyuapkan kek ke mulutku, menuangkan air untukku, seoalah-olah segala perhatian hanya untukku. Matanya sentiasa bersinar memandangku, setiap tutur katanya manis dan lembut belaka. Ya ALLAH, hanya ENGKAU yang maha mengetahui, bertapa seksanya aku melayani setiap kerenah dan lakonannya. Hati di dalam, menggelegak bagai gunung berapi yang akan memuntahkan lavanya. Tetapi… mahu atau tidak, aku harus memainkan peranan demi menjaga rahsia dari terbongkar.

Dan akhirnya, setelah majlis ditamatkan dengan sesi pemberian hadiah harijadi serta acara bergambar sekeluarga, kami mula bersurai. Lega rasa dihati, akhirnya dapat melepaskan diri dari keadaan yang merimaskan. Namun… apa yang kuharapkan, lain pula yang terjadi…

“Haqim terus ke rumah Pak Su atau singgah di rumah kawan ambil beg pakaian? Tanya Pak Su kepadanya. Aku tertanya-tanya maksud soalan tersebut. Rupanya tadi dia memberitahu Pak Su bahawa dia meminjam kereta kawannya untuk datang ke hotel.

“Err… Haqim terus ke rumah Pak Su jer, beg dah ada dalam kereta.” Jawabnya selamba.

“Kalau macam tu, Lea naik dengan Haqim, nanti Haqim tak tau jalan ke rumah.” Pak Su memberi arahan.Ya ALLAH, aku harapkan untuk lepas darinya, tetapi sebaliknya perlu lebih rapat lagi dengannya. Tak guna betul! Lain yang diharap, lain pulak yang terjadi. Ini bermakna dia akan turut sama ke rumah Pak Su, bermalam bersamaku di dalam satu bilik, Ya ALLAH, apa yang harus kulakukan? Aku tidak rela dia mendekatiku, aku tidak akan sekali-kali membenarkan dia menyentuhku. Argh!! Geramnya… aku tak dapat lari lagi darinya. Aku harus terus melakonkan watak mengikut arahannya.

Danish Aakif masih tidak lepas bergayut di leher ayahnya. Dia bagaikan ingin melepas rindu dendam terhadap ayahnya. Aku tiada pilihan selain menurut saja arahan Pak Su. Danial Haqim tidak melepaskan peluang untuk mengenggam jari jemariku. Geramnya hatiku. Berbuku-buku rasa marahku terhadapnya. Jaga kau… lepas ni siaplah kau! Sungut hatiku.

Wajahnya berbunga riang…manakan tidak, dengan senang hati dia mengenakan aku habis-habisan malam ini. Tentulah suka sangat hatinya, dapat menawanku tanpa kerelaan. Aku terpaksa relakan hati memandangkan Pak Su sekeluarga masih bersama kami. Jika dipandang secara lahiriahnya, kami bagaikan sebuah keluarga bahagia di mana sang suami mendukung anak dan sebelah tangan yang lain memimpin isteri tersayang. Argh…segalanya penuh kepura-puraan!

Kami berpisah di tempat meletak kereta. Pak Su sekeluarga menuju ke kereta mereka, manakala aku mengikut Danny ke keretanya. Sebaik mereka hilang dari pandangan, aku segera merentap tangan dari gengamannya dan menjauhkan diri darinya. Aku benci untuk terus berlakon.Cukuplah, sandiwara ini perlu ditamatkan kerana penontonnya telah bersurai. Tetapi dia segera mendapatkanku.

“Lea, kenapa ni, tak baik tengok dek orang nanti” Dia cuba menarik tanganku semula.

That’s enough Danny, hentikan lakonan bodoh you. Jijik I tengok drama murahan you ni, apa…you dah ketandusan idea ker? Sampai guna taktik kotor macam ni untuk dekati I?” Perasaan marahku membuak-buak, segalanya harusku hamburkan segera. Sakit hatiku tak tertahankan lagi, luka lama yang kian sembuh, kini berdarah kembali.

“Lea… kalau you nak marah pun, tunggulah sampai di rumah, tak manis lihat dek orang, lagi pun you tak malu ke, anak you tengok kita bergaduh?” Dia cuba menyabarkanku. Dia memegang kedua-dua bahuku. Cuba mententeramkanku.

Kerana perasaan marah yang keterlaluan, aku terlupa keadaan sekeliling. Tentulah tidak bermoral jika suami isteri bergaduh di khalayak ramai. Walaupun ketika itu tidak ramai orang di tempat meletak kereta itu. Namun, pasti akan mengaibkan jika menjadi tontonan orang ramai. Ya! Kata-katanya benar belaka! Aku tentu saja ingin menjaga reputasiku sebagai ibu yang baik dan bermoral pada pandangan anakku. Danish pasti akan beranggapan ibunya seorang yang jahat jika dilihat bergaduh dengan ayahnya. Aku beristighfar berkali-kali untuk mententeramkan perasaan.

Aku terpaksa melayannya sebaik mungkin walaupun hati mengelegak bagaikan air yang sedang mendidih. Danish telah terkulai layu di tempat duduk belakang. Sejuk rasa hatiku melihat kegembiraannya. Segala yang diimpikannya telah tercapai. Selama ini dia mengharapkan kehadiran ayahnya, dan kini ayahnya berada disisi melayan segala kerenahnya. Hem! Mummy sajalah yang ‘makan hati berulam jantung’.

4 comments:

  1. hohoho..
    bijak gak si danial ni..
    dtg snyap2..si lea lari..
    libatkn kluarga..mmg kntoi la lea klu marah die..
    best2..smbung lg..

    ReplyDelete
  2. hohohohoh....
    licik btul la si daniel ni...
    lea ajar ckup2 si daniel 2...
    jgn bg muka sngt kat dia...
    snang2 dia tnglkan ko n ikut kuarga dia...
    then skrg nak ko blik...
    jgn mngalah sngt ngn daniel...
    br dia thu pmpuan ni bkn sng nak di buli...
    best2x...
    smbung2x...

    ReplyDelete
  3. wah!!! dasat la u all nyer komen. tambah teruja akak nak teruskan citer ni... thanks seme...

    ReplyDelete
  4. iyer teruskan citer ni...
    kite pun x sabar nak tahu sambungan yg seterusnya...
    abislah danial...jab lg gunung berapi lea meletup hehehe,...

    ReplyDelete

 
Dear Diary Blogger Template