Monday, February 1, 2010

Cinta Terhenti - Bab 18

Malam itu, seusai solat maghrib aku bersiap seadanya untuk meraikan jamuan makan malam yang telah diatur oleh Pak Su sempena kepulanganku. Danish telah kusiapkan seawal tadi. Dia sedang menungguku di ruang tamu. Aku mengenakan blouse potongan kaftan dari kain organza berwarna putih dengan corak batik bunga ros merah, dan dipadankan dengan seluar panjang putih dari jenis kain yang sama. Tudung pula kupilih dari warna sedondon yang bercorak abstrak dan digayakan mengikut lilitan fesyen terkini. Akhir sekali aku lengkapkan gayaku dengan tali pinggang selebar dua inci berwarna merah bagi menampakkan bentuk badanku yang berpinggang ramping. Setelah berpuashati dengan penampilanku dicermin, aku mengorak langkah keluar bilik untuk bersama-sama dengan yang lain di ruang tamu.Tas tangan merah dan kasut warna senada kujinjing di tangan kananku.

Sebaik sampai di ruang tamu, empat pasang mata terpegun memandangku. Aku terpinga-pinga dengan aksi mereka. Ada yang tak kenakah dengan penampilanku? Aku tercari-cari kesilapan yang mungkin berlaku. Adakah mekapku terlalu tebal, atau bajuku yang terlalu seksi tidak sesuai dengan majlis makan malam ini? Sedang aku terpinga-pinga, kulihat mereka tersenyum-senyum pula. Ah! kacau! Kacau! Apa yang tak kena ni?

“Kenapa semua pandang Lea macam tengok badut?, ada yang tak kena dengan penampilan Lea?” Tanyaku yang masih tertunduk-tunduk mencari kecacatan pada penampilanku.

“Amboi! Amboi! Cik kak kita ni terlebih melawa nampak, nak pikat sapalah agaknya? Usik Pak Su yang masih tersenyum-senyum memandangku.

“Eh… lawa sangat ker? Lea rasa biasa jer, simple… baju ni dah lama Lea beli, masa ekspo batik Malaysia kat sana”.

“Ya lah, lama bagi Lea, tapi baru bagi kami yang pertama kali tengok. Tapi… memang padan sangat dengan Lea, berseri-seri, macam pengantin pulak, serba putih dengan lorekan bunga ros merah, kena sangat dengan kulit Lea yang putih kuning ni.” Mak Su memujiku. Kembang kuncup rasa hatiku mendapat pujian ikhlas dari Mak Su. Tak kusangka gaya fesyen yang sebegini simple menjadikan penampilanku menarik di mata mereka.

Kami bertolak ke Allson Klana Putra Nilai dengan kereta MPV Toyota Wish Mak Su. Serba selesa dan kelihatan mewah dengan seat kulit, LCD TV dan DVD player. Aku berbangga dengan pencapaian kerjaya Pak Su dan Mak Su. Perniagaan mereka berkembang maju dan semakin mantap, malah telah dikenali ramai. Lapan tahun yang lalu, mereka hanya ada sebuah kereta PROTON Waja. Tetapi kini, Pak Su telah memiliki tiga buah kereta. Sebuah BMW 5-series, sebuah Honda CRV dan sebuah Toyota Wish kepunyaan Mak Su. Jika dahulu mereka hanya tinggal di rumah teres dua tingkat di Shah Alam, tetapi kini mereka telah mampu memiliki rumah yang lebih selesa di kawasan perjiranan Putra Nilai yang berkonsep moden tetapi masih mengekalkan ciri-ciri kedesaan dengan taman menghijau dan tasik sebagai tempat rekreasi.

Lapan tahun yang berlalu telah membawa perubahan demi perubahan yang membanggakan buat Pak Su sekeluarga. Aku terharu melihatkan keharmonian rumahtangga mereka. Pak Su sememangnya seorang suami dan ayah yang bertanggungjawab dan penyayang. Setiap kali melihat kebahagiaan mereka, aku teringat kebahagiaan dan kegembiraan yang pernah kukecapi bersama emak, abah dan kakyong.Namun…sayang, kegembiraan itu hanya sempat dinikmati seketika cuma.

Segalanya berakhir dengan berita kemalangan yang menimpa mereka. Masih segar diingatan, ketika itu bulan puasa, 1 Januari 1999 bersamaan 13 Ramadhan. Abah , emak dan Kakyong dalam perjalanan pulang ke kampong untuk berbuka puasa bersama-sama kami. Aku ketika itu telah berada di kampung sementara menunggu keputusan SPM diumumkan.

Ketika itu aku dan opah baru selesai mengerjakan solat maghrib di masjid. Kami berbuka puasa di masjid kerana hari itu adalah hari ‘more’ yang dianjurkan oleh keluarga kami. Sepanjang petang, kami menunggu kehadiran abah sekeluarga tapi mereka tak kunjung tiba sehinggalah saat berbuka puasa. Kami berandaian mungkin abah lambat bertolak dari K.L dan terpaksa singgah berbuka di perjalanan.

Tetapi apabila Ustaz Matnor duduk mengadap Opah ketika itu, hatiku telah berkata-kata, bagaikan ada sesuatu yang telah berlaku.

“Wan Chu, sebelum saya bercakap ni, saya harap Wan Chu bersabarlah yer, segala-galanya adalah ketentuan dari yang ESA. Kita sebagai hambaNYA tidak dapat menghalang, kita harus redha …” Ucapan permulaan Ustaz Matnor.

Apa haenya Ustaz, kabo jer ler… aku ni dah tua, dah macam-macam dah aku tempoh… baik ker, buruk ker… kabor jer ler…” kata opah perlahan. Aku yang turut sama sudah merasa lain macam. Ustaz turut memandang kearahku. Dan meminta aku bersabar.

“Wan Chu, ni pasai anak sulong Wan Chu, Hj Elias sekeluarga…”

Hatiku tiba-tiba berdegup kencang apabila Ustaz menyebut tentang abah dan keluargaku. Mesti ada perkara buruk telah berlaku.

“Mereka terlibat dalam kemalangan di Simpang Tiga Pekan Sungkai tu….”

Ya ALLAH… aku tiba-tiba berasa lemah seluruh anggota badan, namun Opah kelihatan tenang dan bersabar. Mungkin dia sedang mengawal perasaannya.

Di mana deme sekarang, Ustaz… tolong ler bawak Wan chu dengan cucu Wan Chu ni. Kami ni takder motokar…”

Kami pergi ke Hospital Tapah dengan menaiki kereta Ustaz Matnor. Aku segera ke Unit Kecemasan untuk bertanyakan tentang keluargaku. Tapi jawapan yang ku terima amat mengecewakan…

“Kesemuanya meninggal dalam perjalanan ke hospital tadi, jenazah mereka telah di bawa ke bilik mayat, adik boleh tuntut di sana…” terang Pegawai Perubatan itu.

Ketika itu juga, aku merasakan hidupku telah berakhir, dalam sekelip mata aku kehilangan ketiga-tiga ahli keluargaku sekali gus. Kini… aku sendirian. Aku pengsan bila mendapat berita tersebut. Apabila sedar semula, segala urusan untuk membawa pulang jenazah telah diuruskan oleh Ustaz dan pekerja hospital. Tetapi Opah tetap tenang dan tabah. Kalaulah aku boleh jadi seperti Opah, alangkah baiknya. Tetapi aku masih tetap tidak dapat mengawal perasaan sedihku. Airmata tetap mengalir sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Berkali-kali Opah memujuk dan mententeramkanku.

Segalanya bagaikan mimpi buruk. Dalam sekelip mata aku kehilangan kesemua keluargaku serentak dan menjadikan diriku sebatang kara.Walaupun hubunganku dengan keluarga agak dingin, tetapi aku tetap menyayangi mereka. Mereka adalah darah dagingku. Tanpa abah dan emak, aku takkan lahir ke dunia ini. Hubunganku dengan Kakyong pula, walaupun kami sering berjauhan, tetapi kami rapat. Kami sering berkongsi cerita. Kakyong sering memujukku apabila aku berkecil hati dengan layanan emak terhadapku. Emak semasa hayatnya seolah-olah membenci diriku, sering mencari kesalahanku. Aku sering tertanya-tanya apa kesilapanku. Tetapi abah dan kakyong tetap melayanku dengan baik. Entahlah mungkin ada rahsia yang tidak kuketahui sehinggakan emak membenciku. Tapi… nampaknya rahsia itu akan terkubur bersama jasad emak kini.

Nasib menyembelahiku kerana aku masih ada Opah dan Pak Su. Jika tidak, entah bagaimanalah nasibku. Segala-galanya telah ditentukan oleh Yang Maha ESA. Aku menerima segala ketentuanNYA dengan redha dan hati terbuka setelah dipujuk oleh Opah dan ahli keluarga yang lain. Hubunganku dengan Opah yang sememangnya akrab, menjadikan aku terlalu bergantung kepada opah setelah ahli keluargaku meninggal. Tidak lama selepas peristiwa itu, keputusan peperiksaan SPM diumumkan, aku mendapat keputusan cemerlang dan di tawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke luar Negara.

*****

“Lea…Lea… hey… kita dah sampai ni. Lea ingatkan apa lagi ni, berkali-kali Mak Su panggil Lea buat tak dengar jer?” Sapaan Mak Su melenyapkan ingatanku kepada peristiwa tragis yang meragut nyawa keluargaku. Tanpa kusedari kenangan silam itu menerbitkan titisan jernih dari mataku. Cepat-cepat kuseka bagi mengelak mereka menyedarinya.

“Opps…sorry, Lea mengelamun sekejap tadi…”Aku cuba menyembunyikan keadaan sebenar.

“Pak Su peliklah tengok Lea ni, sejak dari pagi tadi Lea asyik termenung…, pagi termenung, tengahari termenung, malam ni pun nak termenung lagi? Apa yang Lea fikirkan? Cuba kongsikan dengan kami.” Pujuk Pak Su.

“Lea…err…Lea, cuma terkenangkan arwah keluarga Lea. Bila tengok Pak Su sekeluarga, Lea teringatkan arwah abah, emak dan kakyong. Kalau kemalangan tu tak berlaku, tentu Lea pun bahagia macam Aida dan Alya. Ada emak, ada abah yang sentiasa sayangkan Lea.” Suaraku sayu melafazkan patah-patah perkataan. Pak Su terdiam mendengar kata-kataku. Mungkin dia juga sayu apabila teringatkan satu-satunya arwah abangnya.

“Lea…, Lea jangan sedih, Pak Su dan Mak Su kan ada, kamilah emak dan abah Lea sekarang, kami pun sayangkan Lea sama seperti kami sayangkan Angah dan Along. Lea jangan rasa terpinggir. Kamilah keluarga Lea. Kalau Lea ada masalah, jangan segan silu bercerita dengan kami ya.” Pujuk Pak Su.

“Eh… marilah turun, apa nak ditunggu dalam kereta ni lagi. Makanan kat dalam restoran tu, kita datang sini nak bergembira, jangan difikirkan perkara sedih-sedih lagi”. Pak Su cuba menceriakan suasana yang sedang suram.

3 comments:

  1. hohohooh...
    klu daniel nmpk lea 2...
    mst dia mnyesal tnglkn lea...
    aku xfhm ngn llki ni...
    btulkah harta blh mengalahkan kuasa cnta...
    smbung2x...
    best...

    ReplyDelete
  2. kirenye lea msih isteri danial la kan..?
    coz nafkah zahir, danial still bg..
    geram gak ngn danial ni..
    pujuk la smgt skit2..
    xsabar nk bce n3 setrusnye..
    cmne la reaksi lea bile jmpe danial, demi memenuhi kehendak & janji nye pd danish...

    ReplyDelete
  3. hehehe... sabar2, nanti saya post bab yang surprise...

    ReplyDelete

 
Dear Diary Blogger Template